BEKENU 24 April 2019 (SNN)– Rakyat Sarawak disaran utamakan pendidikan serta pertahankan adat resam dan kebudayaan mereka. Malahan menjadi tanggungjawab setiap daripada kita untuk mempertahankan adat resam dan kebudayaan setiap kaum di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Kerajaan Sarawak akan terus mempertahankan setiap adat resam masyarakatnya. “Pertahankan adat resam dan budaya masyarakat kita. Inilah keunikan yang ada di Sarawak di mana kepelbagaian kaum tidak menghalang setiap masyarakatnya dapat hidup bersatu dan harmoni. Inilah juga kekuatan Sarawak”.
“Misalnya, kaum Kedayan yang berada di Lawas, Limbang dan Miri, walaupun tidak seramai kaum lain di Sarawak, tetapi kita mempunyai wakil rakyat daripada Kedayan seperti YB Rosey Yunus dan YB Ripin Lamat.Untuk itu, marilah kita kekalkan dan berikan sokongan kepada wakil rakyat kita ini untuk memastikan ada resam dan budaya masyarakat Kedayan dapat dipertahankan,” katanya ketika berucap di Majlis Kebudayaan dan Pertandingan Kepala Kapor Makan Tahun Perdana 2019 bertempat di Kampung Pintasan, Tiris.
Pada hari ini, kita telah menyaksikan bagaimana anak-anak Kedayan turut berjaya dalam bidang masing-masing dengan mementingkan pendidikan.”Pendidikan adalah asas utama kepada kita untuk terus berjaya dan maju. Menerusi pendidikan juga, ia akan mengubah kehidupan kita menjadi lebih baik. Hari ini kita telah menyaksikan ramai anak muda daripada masyarakat Kedayan yang dahulunya kerap dibayangi kehidupan sebagai petani dan kini telah berjaya dalam bidang pendidik dengan memperoleh kelulusan tinggi sehingga di peringkat Ijazah Kedoktoran (PHD)”.
“Untuk itu, dalam usaha kita mengejar pembangunan dan kemajuan, janganlah kita melupakan adat resam budaya kita yang menjadi tonggak kepada kesejahteraan kehidupan kita pada hari ini,” tambahnya.
Turut disentuh, isu dadah yang sehingga kini masih lagi tiada kesudahan walaupun telah bermacam cara digunakan untuk membanterasnya.”Masyarakat tidak harus lepas tangan dengan hanya menunding jari kepada pihak berkuasa sahaja untuk menyelesaikannya. Semua pihak perlu campur tangan untuk menangani masalah dadah yang semakin serius di Sibuti ini,” ujarnya.
Seramai 17 peserta yang terdiri daripada penduduk setempat Kedayan telah mengambil bahagian dalam pertandingan Kepala Kapor. Manakala, beberapa persatuan Kedayan dari Lawas, Limbang, Labuan dan Miri turut mempersembahkan tarian kebudayaan mereka.
Hadir sama Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu YB Hajah Rosey Haji Yunus, Ahli Parlimen Sibuti YB Lukanisman Awang Sauni, ADUN Lambir merangkap Pengerusi Persatuan Kedayan Sarawak (PERKASA) Sibuti dan Pegawai Daerah Subis Haji Jamalie Haji Busri.