More
    Home Malaysia PRU-15; Perdana Menteri umum pembubaran parlimen berkuatkuasa hari ini

    PRU-15; Perdana Menteri umum pembubaran parlimen berkuatkuasa hari ini

    PUTRAJAYA, 10 OKTOBER 2022 (SNN): Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Beliau membuat pengumuman khas itu melalui siaran secara langsung ke seluruh negara pada pukul 3 petang ini menerusi saluran televisyen dan medial sosial.

    “Dengan ini dimaklumkan, bahawa tengah hari semalam saya telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah warkah permintaan kepada Baginda, mengenai pembubaran Parlimen Ke-14.

    “Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah
    bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan berkuat kuasa hari ini, Isnin 10 Oktober 2022,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri.

    Ismail Sabri menambah, beliau turut meminta agar semua ketua-ketua kerajaan negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan pilihan raya umum peringkat Parlimen.

    Meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing, ujar beliau lagi, pembubaran DUN adalah wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.

    “Sementara itu, penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15,” katanya lagi.

    Perdana Menteri menegaskan, proses itu adalah berlandaskan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan sejak negara mencapai kemerdekaan.

    Jelasnya, pembubaran itu dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

    “Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka, untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik,” ujarnya lagi.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Isu hakisan tanah yang serius di Kpg Melango jejas keselamatan penghuni...

    0
    KUCHING, 16 NOVEMBER 2024: Kerajaan digesa mempertimbang dan mengambil berat isu hakisan tanah yang teruk di Kampung Melango, Saratok yang meliabtkan lebih 47 rumah...