KABONG, 04 FEBRUARI 2023 (SNN): Peranan pendidikan hari ini telah berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya dan jauh lebih mencabar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Mohd Chee Kadir berkata, pendidikan pada abad ke-21 ini penuh dengan ketidaktentuan, sukar diramal dan sentiasa terdedah kepada penambahbaikan.
Katanya, proses pembelajaran tidak lagi tertumpu kepada akses pengetahuan semata-mata, bahkan lebih menjurus kepada proses persediaan menghadapi cabaran yang berbeza pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SMK Kabong 2022/2023 di Dewan MCK SMK Kabong pada Jumaat.
Tambah Mohd Chee, para murid bukan sahaja ke sekolah untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia.
Dalam pada itu, beliau juga menyatakan komitmen dan sokongan padu dalam membantu menyediakan kemudahan dan prasarana pendidikan di Kabong.
Pada majlis itu, Mohd Chee telah menyerahkan sumbangan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) SMK Kabong berjumlah RM17,000 bagi tujuan tabung kebajikan kakitangan sekolah, sumbangan Majlis Apesiasi Pelajar SMK Kabong Tahun 2022/2023 dan bagi tujuan baik pulih jalan hadapan flat SMK Kabong.
Pada sebelah malam pula, Mohd Chee meluangkan masa menghadiri dan merasmikan Majlis Makan Malam sempena Tahun Baru Cina 2023 di Dewan SJC Chung Hua Roban yang turut dihadiri kira-kira 500 guru dan ibu bapa.
Dalam ucapan, beliau menghargai penganjuran program seperti itu kerana ia dapat merapatkan silaturahim serta memelihara keharmonian kaum yang telah terjalin sejak sekian lamanya.
Katanya, kehadiran berbagai kaum dalam majlis itu menunjukkan sikap perpaduan tanpa mengira bangsa, agama serta fahaman politik dan keharmonian itu patut dipertahankan dan disuburkan.
Dalam majlis itu juga, Mohd Chee telah menyumbang dana sebanyak RM12,000 untuk aktiviti sekolah SJC Chung Hua Roban.
Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian Friday Belik menyumbang RM10,000 untuk PIBG sekolah tersebut.-UKAS.