SEBUYAU, 26 MEI 2021 (SNN) : Projek Tebatan Banjir/Benteng Laut yang di laksanakan di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) sejak awal Oktober 2020 lalu dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2022 ini.
Memetik perkongsian berkenaan perkembangan projek di laman rasmi Facebook Pusat Khidmat ADUN Sebuyau, perkembangan terkini projek pembinaan benteng laut di Block F Fasa 1 Sebuyau yang bermula dari Balai Polis Sebuyau sehingga ke kawasan Giat MARA dan Sungai Mambai/Sungai Rama, Sebuyau kini sedang giat melakukan kerja-kerja meletakkan batu penghadang.
Dimaklumkan juga, projek tebatan banjir itu dibina sepanjang 4.3 Kilometer yang melibatkan beberapa projek lain iaitu pembinaan tebatan banjir, sistem peparitan dan benteng laut dengan kos sebanyak RM34.6 juta.
Pusat Khidmat DUN Sebuyau mewakili rakyat Sebuyau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Datuk Julaihi Narawi merangkap Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak atas usaha membantu rakyat untuk merealisasikan projek ini disamping terima kasih juga ke atas pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana telah meluluskan projek itu. Diharapkan projek berkenaan berjalan dengan lancar dan akan memberi manfaat besar kepada penduduk Sebuyau bagi mengatasi masalah banjir yang terjadi setiap tahun.