Limbang, 07 April 2019 (SNN)- Projek RTP bernilai RM 1 juta diperuntukkan untuk pembangunan Limbang. Projek ini telah dilaksanakan oleh Majlis Daerah Limbang (MDL) dengan dibahagikan kepada dua fasa iaitu Fasa Pertama menggunakan peruntukan RTP Khas 2016 berjumlah RM700 ribu manakala Fasa Kedua menggunakan RTP 2018 berjumlah RM300 ribu.
YB Dr Hj Abdul Rahman Ismail berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan ke Projek RTP dan MRP DUN Bukit Kota, semalam. Dr Hj Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata Projek Naik Taraf Gelanggang Bola Keranjang Batu Biah telah siap pada 17 Febuari 2019.
Gelanggang Bola Keranjang di Batu Biah dibina oleh Kerajaan Sarawak bagi menggantikan Gelanggang Bola Keranjang di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hwa Limbang setelah sekolah tersebut berpindah ke tempat baru.
Gelanggang Bola Keranjang di Batu Biah dicadangkan sebagai gelanggang serbaguna agar dapat digunakan untuk bermain bola jaring dan bola tampar. Dr Hj Abdul Rahman juga berkata dengan adanya gelanggang yang menempatkan dua jenis permainan ini membolehkan orang ramai boleh menjadikan gelanggang bola keranjang ini sebagai gelanggang untuk permainan bola jaring dan bola tampar.
“Kita patut menjadikan gelanggang bola keranjang sebagai gelanggang serbaguna bagi membolehkan permainan sukan bola jaring dan bola tampar diadakan secara bersama. Ini kerana gelanggang ini turut dilengkapkan dengan kemudahan seperti berbumbung, mempunyai lampu bagi kegunaan waktu malam dan disediakan tempat duduk, tandas, pentas dan pagar,” katanya.
Turut ditinjau ialah Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar yang baru sahaja siap 2 April lepas.”Dewan tersebut yang bernilai RM350 ribu telah dikawal selia Jabatan Kerja Raya (JKR). Sebahagian daripada peruntukan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2018 Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota,” katanya.
Dr Hj Abdul Rahman turut melawat pembinaan Dewan Taman Desa Pabahanan Fasa 1 yang bernilai RM180 ribu yang terletak bersebelahan dengan Padang Taman Desa Pabahanan. “Dewan tersebut nanti akan memuatkan 3 buah gelanggang badminton untuk kemudahan penduduk di taman perumahan tersebut,” katanya.
Manakala, projek naik taraf Padang Majlis Daerah Limbang yang dilaksanakan di bawah peruntukan MRP ADUN Bukit Kota bernilai RM100 ribu telah pun siap. “Projek tersebut telah siap dan komponen utama projek ini adalah pemasangan pagar untuk menghalang bola dari kenderaan yang diparkirkan di belakang Limbang Plaza serta memperbaiki sistem perparitan di sekeliling padang tersebut,” ujarnya.
Pada kesempatan itu, Dr Hj Abdul Rahman turut meninjau masalah parkir yang dihadapi penduduk Limbang ketika ini. MDL telah menjadikan kawasan bersebelahan Padang MDL di belakang bangunan kedai Bangkita untuk dijadikan lot parkir sementara bagi menangani masalah kekurangan lot parkir di bandar Limbang. Kawasan tersebut dianggarkan boleh memuatkan 100 buah kenderaan apabila ia dibuka nanti.
Turut hadir Setiausaha Majlis Daerah Limbang Petrick Linggie anak Taboh, Jurutera JKR Limbang Katerina anak Gerang, Penolong Jurutera Majlis Daerah Limbang Nur Allilzan binti Ismail dan Kr Frederick Lalung Ngilo.