SARIKEI, 05 DISEMBER 2020 (SNN) : Projek menaiktaraf jalan Fasa II Jalan Sibu-Tanjung Manis, Sungai Ilas, Kampung Sebena di Daerah Meradong bagi kawasan DUN Daro akan memberi manfaat kepada pengguna di sepanjang jalan berkenaan.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi semasa melakukan lawatan ke tapak projek berkata, siapnya naiktaraf jalan itu nanti akan memberi manfaat kepada penduduk di beberapa buah rumah panjang dan sekolah di sekitar kawasan terbabit.
“Projek yang menelan kos sebanyak RM36.1 juta sepanjang 19.6 Kilometer itu dijangka siap pada awal Disember 2020.
“Antara rumah-rumah panjang yang akan menikmati kemudahan infrastruktur tersebut adalah Rh Ajah, Rh Lisa, Rh Getai, Rh Johanes Lapok ak Ringgi, Rh Ting Mee Lung, Kampung Sebena dan sebuah sekolah rendah, SK Sebena,” katanya.
Turut hadir sama semasa lawatan ke tapak projek adalah YB Shafiee Ahmad, ADUN Daro; Datu Safri Zainuddin, Setiausaha Tetap MIPD; Ir Anding, Pengurus JKR Wilayah Tengah dan wakil Perunding Jurutera Artecon Sdn Bhd serta pihak Kontraktor Bispuri Sdn Bhd.