SEBUYAU, 03 MAC 2021 (SNN) : Penduduk kampung di kawasan Sebangan khususnya di Kampung Sampat akan menikmati bekalan air bersih secara konsisten selepas siapnya Projek Loji Rawatan Air Sebangan kelak.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi berkata, projek rakyat yang menelan kos sebanyak RM5.4 juta itu akan menyalurkan sumber bekalan air yang bersih 24 jam kepada penduduk setelah siap pembinaannya kelak.
“Pelaksanaan projek ini nanti meliputi penambahbaikan peralatan mekanikal dan elektrik, pembaikan tempat pam air mentah, baik pulih struktur tangki air di loji, penambahbaikan bangunan loji rawatan air dan penukaran sistem pengedosan bahan kimia bagi proses rawatan air.
“Maklumat yang disampaikan oleh pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Samarahan memberitahu loji tersebut kelak dapat menampung bekalan air dengan kapasiti 0.5 juta litar per hari (MLD) yang akan disalurkan untuk penduduk sekitar kawasan Sebangan,” kata beliau ketika meninjau kawasan loji rawatan air Sebangan pada Selasa.
Jelas beliau, setelah siapnya projek ini kelak diharapkan agar penyaluran air secara konsisten ini dapat mengatasi masalah krisis air daripada berulang seperti yang sebelumnya dimana penduduk mengadu sering berlaku gangguang bekalan air.
Turut hadir sama ke lokasi adalah Jurutera Air Bahagian JBALB Samarahan; Tamida Da’adi, Kontraktor Cemsian Engineering Sdn. Bhd, Kontraktor Rimbun Prime Sdn. Bhd dan Ketua Kampung Sampat Sebangan; Martasan Bujang.