KUCHING, 14 APRIL 2024: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang berkesempatan untuk berkunjung ke Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof.
Dalam majlis tersebut, Dato Sri Fadillah selaku tuan rumah dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyantuni masyarakat dari pelbagai lapisan kaum yang mulai datang seawal jam 9 pagi.
Turut memeriahkan majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian serta isteri Datin Amar Enn Ong Siok Ean.
Penduduk di sekitar Kuching khususnya di kawasan Petra Jaya juga tidak melepaskan peluang untuk hadir dan merakamkan gambar kenangan bersama Ahli Parlimen mereka.
Datuk Patinggi Abang Zohari meluangkan masa dalam kira-kira lebih setengah jam sebelum berangkat pulang dan dijangka akan berangkat ke Sibu untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri di kawasan tersebut pada hari yang sama.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak; Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Pelancongan); Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek); Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Datuk Micheal Tiang Ming Tee dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak; Fazzrudin Abdul Rahman.-UKAS