Kota Samarahan, 14 Februari 2020 (SNN) – Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi telah menyampaikan amanat bagi tahun 2020 kepada hampir 2,000 warga UNIMAS yang hadir di Dewan Arena Gemilang, DeTAR PUTRA, UNIMAS, pagi tadi.
Dengan bertemakan ‘Nurturing Future Graduate: Inclusive, Global, Sustainable’, Naib Canselor telah memulakan amanat tersebut dengan ucapan penghargaan kepada semua warga UNIMAS atas kejayaan dan kecemerlangan sepanjang tahun lepas berpacukan nilai-nilai teras seperti Integriti, Inovasi, Keikhlasan, Ketabahan dan Keserakanan.
Beliau berharap pada tahun ini, warga UNIMAS dapat meneruskan kecemerlangan dalam melahirkan intelektual bangsa yang berjaya dan berwibawa.
Dalam pada itu, Naib Canselor menjelaskan pemilihan tema adalah bertepatan dengan visi dan misi Universiti untuk menjadi sebuah institusi pendidikan tinggi yang kontemporari dan berpandangan jauh, khususnya dalam memenuhi agenda pembangunan nasional dan antarabangsa.
Beliau menjelaskan selari dengan inspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tun Mahathir bin Mohamad baru-baru ini, maka pendidikan seharusnya bersifat inklusif, di mana setiap individu diterima tanpa menidakkan hak mereka untuk mendapatkan pendidikan terbaik, kandungan dan pengalaman harus bersifat global untuk memastikan pendekatan pendidikan yang holistik antaranya dengan pemerkasaan dan penyediaan sistem dan amalan sedia ada serta pelaksanaan pelbagai inisiatif.
“Malahan, UNIMAS memiliki ekosistem unik yang boleh dioptimumkan dalam menyokong Agenda Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) dan kita berbangga kerana kita telah mengangkat agenda tersebut dengan merangka langkah-langkah demi memastikan masa depan yang mampan serta kefahaman bahawa ianya hanya boleh dicapai melalui semangat kerjasama dengan pihak kerajaan, industri dan masyarakat.
Dalam amanat tersebut, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi juga berharap dengan keadaan sumber-sumber yang terhad, Universiti perlu bijak beroperasi dan mengoptimumkan sumber sedia ada untuk memastikan setiap warga UNIMAS dapat menyumbang ke arah kecemerlangan Universiti tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan dan penyampaian sama ada kepada pelajar mahupun masyarakat.
Katanya, UNIMAS perlu kekal relevan sepanjang masa dengan melaksanakan pelbagai inisiatif dan penambahbaikan mengikut perubahan semasa terutama dalam mendepani gelombang teknologi digital, seperti Big Data, Artificial Intelligence, Internet of Things (IoT), dan AR/VR (Augmented Reality/Virtual Reality), Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan dominasi golongan millennial.
“Oleh sebab itu, universiti perlu menilai semula peranannya masa kini dan melihat kembali bagaimana ianya berkembang untuk memenuhi keperluan masa depan graduan kita. Cabaran dahulu, kini, dan masa hadapan tidak pernah serupa dan sentiasa berubah mengikut keperluan dan kehendak semasa,” sambung beliau.
Dalam amanat tersebut, Naib Canselor juga mengimbau fokus dan pencapaian UNIMAS sejak dari amanat pertama beliau pada tahun 2013 hingga kini yang mana menurutnya beliau berbangga kerana menyaksikan banyak kejayaan sepanjang tahun-tahun berkenaan.
Beliau berkata, UNIMAS kini menduduki tangga 801 Universiti terbaik di dunia oleh QS World University Rankings, 1001 universiti terbaik dunia oleh Times Higher Education University Rankings, 801 terbaik dunia dalam bidang kejuruteraan dan teknologi, 501 terbaik dunia dalam bidang perniagaan dan ekonomi, 301 terbaik dunia dalam Young World University Ranking dan 201 terbaik dunia dalam University Impact Rankings.
Selain itu, dalam QS Asian University Ranking, UNIMAS kini berada pada kedudukan 243 dan menjadikan Universiti ini berada dalam kelompok Top 2% daripada 11,900 buah universiti di Asia, juga mendapat penarafan lima bintang (5 Stars) dalam pengajaran, kebolehpasaran graduan, kemudahan, dan keterangkuman (inclusiveness) dari QS Stars Rating, peningkatan 4 bintang dalam rating Malaysia Research Assesment (MyRA) berbanding dengan hanya 2 bintang pada tahun 2012.
Oleh demikian, katanya, bagi meneruskan komitmen untuk melahirkan graduan yang benar-benar tersedia memenuhi keperluan masa hadapan, UNIMAS harus terus memperkasakan sistem pendidikan dan penyampaian yang berorientasikan Nurturing Future Graduates dengan keperluan dan kehendak masa kini selain penambahbaikan akan dilaksanakan dengan menggabungjalinkan konsep inclusive, global, dan sustainable seiringan dengan aspirasi negara untuk merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Dalam pada itu, selepas menyampaikan amanat, Naib Canselor juga telah menyempurnakan Perasmian Pelan UNIMAS ke arah sifar penggunaan plastik sekali guna dan pelancaran buku dasar dan tatacara pengurusan risiko.