LIMBANG. 26 JANUARI 2023 (SNN): Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Limbang berhasrat menubuhkan bangunan pejabat sendiri sebagai pusat aktiviti dan pengurusannya.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kerajaan Sarawak sedia membantu mana-mana persatuan termasuk PERKIM cawangan Limbang untuk mendapatkan bangunan sendiri bagi menjalankan program dan aktiviti dengan selesa.
Sehubungan itu, geran berjumlah RM40,000 diperuntuk kepada PERKIM Limbang sebagai kos tambahan bagi melaksanakan usaha tersebut.
Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu mencadangkan satu lot kedai di tingkat atas bangunan bekas klinik miliknya yang kini tidak berpenghuni untuk dijadikan sebagai pejabat baharu PERKIM Limbang.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-33 PERKIM Cawangan Limbang di Dewan Bunga Raya di sini baru-baru ini.
Untuk rekod, buat masa ini, Masjid Baitul Iman Daerah Limbang dijadikan pejabat sementara PERKIM Limbang bagi pelaksanaan program keagamaan yang memberi manfaat kepada ahli-ahli termasuk masyarakat Islam setempat.
Turut hadir sama Penyelaras PERKIM; Dayang Noraini Abang Zawawi, Pengerusi PERKIM cawangan Limbang; Datin Dayang Maimunah Awang Mohamad Daud dan Pengerusi Jawatankuasa Hala Tuju merangkap Ahli Jawatankuasa PERKIM Sarawak; Dr Saadiah Abdul Samad.-UKAS.