SIBU, 09 MAC 2023 (SNN): Kerajaan Sarawak akan terus mengiktiraf tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dengan syarat pemiliknya mempunyai bukti pemilikan yang sahih dan jelas mengikut perundangan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, kerajaan akan terus mengiktiraf tanah NCR berpandukan bukti sahih dan mengikut perundangan sedia ada iaitu Kanun Tanah Negeri (KTN).
“Kerja penyukatan bukan perkara baru kerana penyukatan tanah NCR ini telah pun dilaksanakan sejak tahun 1960-an lagi.
“Malah kerajaan juga telah membantu dalam kerja-kerja penyukatan Tanah Adat Bumiputera dengan pelbagai kaedah dan operasi penyelesaian dan ianya tidak melibatkan sebarang kos.”
Datuk Amar Awang Tengah berucap demikian dalam Majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah, Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri & Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bahagian Sibu pada Rabu.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak juga menyeru para pemilik tanah NCR supaya bersama-sama kakitangan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) di lapangan ketika penyukatan tanah mereka dilakukan.
Katanya, ini bagi memastikan penyukatan tanah mereka dapat dilakukan dengan cepat dan mengelak pertindihan tuntutan tanah di kalangan mereka.
“Apabila notis penyukatan tanah diberikan, para pemilik tanah harus hadir kerana hanya mereka (pemilik tanah) yang tahu persempadanan tanah mereka.
“Kerajaan mengambil maklum bahawa tanah NCR ini luas dan berselerak di seluruh Sarawak, jadi Kerajaan telah mencari kaedah untuk mempercepatkan penyukatan tanah NCR.”
Katanya, bagi mempercepatkan proses penyukatan, JTS telah menggunakan kaedah penyukatan baru bermula tahun 2010.
Tambah beliau, “Penyukatan menerusi Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu hanya dilaksanakan setelah menerima permohonan dari penuntut tanah NCR.
“Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu ini kita akan teruskan selagi ia diperlukan dan Kerajaan menjamin hak rakyat terhadap tanah NCR ini asalkan penuntut tanah NCR dapat membuktikan ianya sahih mengikut perundangan.
“Penyukatan tanah NCR ini tidak mengenakan apa-apa caj bayaran pun, semuanya adalah percuma,” katanya.
Menurutnya lagi, di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM40 juta untuk meneruskan penyukatan tanah NCR.
Selain itu tambahnya, kerajaan juga meluluskan pengambilan seramai 467 pegawai dan kakitangan di Jabatan Tanah dan Survei yang melibatkan kos lebih kurang RM30 juta setahun bagi mempercepatkan proses pengukuran.
Selain itu, seramai 361 penduduk di kawasan DUN Bawang Assan menerima 441 Cek Pampasan berjumlah RM11,539,472.70 bagi bagi projek Proposed Sungai Maaw/5G Merah 132K Transmission Line Project Sibu.
Bagi projek Menaiktaraf Bekas Jalan-Jalan Balak Di Negeri Sarawak (Fasa IV) Bahagian Sibu pula, sebanyak 20 keping cek berjumlah RM61,694.62 telah diserahkan kepada 13 orang penerima bagi kawasan DUN Ngemah.
Turut diagihkan adalah sebanyak 40 surat hak milik tanah kepada 40 penerima di bawah Seksyen 18 bagi kawasan Sungai Salim, Sibu dan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN bagi Kawasan Batu Burak, Igan Sibu di DUN Bawang Assan kepada tiga orang penerima.
Turut hadir Penolong Pengarah Penilaian JTS Sarawak; Norlina Ra’ee, Pemangku Penguasa JTS Bahagian Sibu; Awan Amal, Wakil Residen Bahagian Sibu; Mcgyver, Pengurus Besar Tanah Sarawak Energy Berhad; Sipol Ambun dan Temenggong Stanley Geramong.-UKAS.