LUNDU, 16 NOVEMBER 2022 (SNN): Penduduk Kampung Matang Terap, Lundu mula menerima bekalan air bersih terawat dengan siapnya Projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) sejak Oktober lepas.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, projek yang bernilai RM4.39 juta itu memberi manfaat kepada kira-kira 120 penduduk kampung berkenaan.
“ia adalah bukti keprihatinan dan usaha komited Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menyalurkan serta membekalkan air bersih dan selamat kepada rakyat Sarawak sekaligus menyelesaikan isu bekalan air.
“Komitmen GPS menerusi kerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam melaksanakan projek SAWAS ini bukti Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak sebagai agensi pelaksana dalam menyalurkan serta membekalkan air bersih dan selamat kepada rakyat Sarawak sekaligus menyelesaikan isu bekalan air,” katanya semasa berucap dalam majlis perasmian Projek SAWAS di Matang Terap, Lundu pada Selasa.
Datuk Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau menambah, sistem SAWAS mula diperkenalkan berfungsi untuk membekalkan air terawat kepada kampung-kampung di luar bandar dan Kampung Matang Terap merupakan salah sebuah kampung yang sistemnya dibangunkan oleh pensyarah UNIMAS.
“Projek ini berperanan untuk menyalurkan bekalan air ke kawasan terpencil yang tiada jalan perhubungan di kawasan jauh daripada bandaraya dan belum menerima bekalan air bersih dan selamat.
“Alhamdulillah dengan peruntukan kerajaan Sarawak setidak-tidaknya dapat membantu penduduk Matang Terap menikmati air bersih dan terawat,”ujarnya lagi.
Beliau memberitahu, projek ini melibatkan pembinaan tangki air simpanan, pembinaan sistem penapisan, pembinaan tangki aras tinggi termasuk pemasangan saluran paip air dan paip komunikasi.
Turut hadir sama ialah calon GPS Parlimen Santubong; Dato Sri Nancy Shukri, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti); Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu; Azizul Annuar Adenan.-UKAS.