KUCHING, 05 JULAI 2023 (SNN): Betubuh kecil dan muda seperti seorang pelajar bila pertama kali bertemu, namun siapa sangka pemuda Melayu kelahiran Johor Bahru dengan kelulusan dalam bidang Syariah dikenali sebagai Muhammad Mujahid kini menjadi penterjemah bahasa di Masjidil Haram, Mekah.
Memetik laporan daripada Sinar Bestari, dalam satu temu bual pemberita tanah air, Mujahid menjelaskan dirinya kini sebagai penterjemah bahasa khususnya setiap kali waktu khutbah Jumaat, Hari Arafah, solat gerhana matahari dan bulan, solat mohon hujan serta beberapa tugasan penting lain.
Lebih menarik lagi, graduan dari Univerisiti Umm Al-Qura, Makkah itu turut memiliki diploma Bahasa Arab selain merupakan seorang huffaz Al-Quran serta penghafal 4,000 hadis.
“Saya menerima lantikan untuk tugas berkenaan sejak Oktober 2022 lalu dan sebenarnya adalah agak sukar kerana Arab Saudi pada dasarnya menetapkan syarat yang agak tinggi.
“Di sini hanya saya seorang yang tidak memiliki kelulusan Sarjana dan PhD (Doktor Falsafah) maka mereka menetapkan syarat atau kebolehan tambahan kepada saya seperti keputusan cemerlang di universiti dan Alhamdulillah saya memenuhi semuanya,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, Mujahid turut memberitahu penterjemah di Masjidil Haram terbahagi kepada 10 bahasa dan setiapnya mempunyai empat petugas penterjemah.
Katanya lagi, petugas kumpulan pertama bertugas di pejabat yang mana melibatkan terjemahan untuk papan tanda dan khutbah manakala kumpulan kedua berada di lapangan untuk membantu jemaah dari Malaysia dan Indonesia yang mahu bertanya soalan.
“Setakat ini alhamdulillah tugas dapat dilaksanakan dengan baik kerana kumpulan kami sentiasa teliti dalam penterjemahan kerana ia melibatkan imej Kementerian Haji dan Umrah,” katanya lagi.
Anak sulung daripada tujuh beradik yang sudah berkahwin dan baru sahaja menimang cahaya mata itu bercadang untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan kemudiannya peringkat PhD.
Alumni Sekolah Menengah Islam Hidayah, Johor Bahru yang mencatatkan keputusan 11A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2017 berkata, bidang agama yang diceburinya adalah pilihan yang tepat.