KABONG, 08 Ogos 2019 (SNN)- Pemeriksaan terakhir bagi penerima Projek MRP-PPRMS Tahun 2018 Fasa 2 Kawasan DUN Kabong dilakukan sendiri oleh ADUN Kabong, Yang Berhormat Encik Mohd Chee Bin Kadir. Beliau yang hadir bersama isteri, pihak MDS dan beberapa ahli jawatankuasa Projek MRP-PPRMS DUN Kabong melakukan lawatan ke rumah-rumah penerima Projek MRP-PPRMS Tahun 2018 Fasa 2 bertempat di Kampung Alit dan juga Kampung Sessang bermula jam 10 pagi semalam.
Keseluruhannya sebanyak 73 buah rumah penduduk miskin yang usang di DUN Kabong disasarkan dibaikpulih di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP), Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) DUN Kabong. PTK Kepada ADUN N.40 Kabong, Encik Nur Elffi Bin Amir sebelum ini mendedahkan dalam Projek MRP – PPRMS 2018 Fasa 1 DUN Kabong, sudah sebanyak 39 buah rumah telahpun siap dibaikpulih yang menelan kos sebanyak RM500,000.
Manakala sebanyak RM500,000 lagi diperuntukkan untuk Fasa 2 yang melibatkan 34 buah rumah di sekitar DUN Kabong. Untuk Fasa 2 kesemua rumah tersebut dalam proses terakhir perlaksanaan dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan dan penghujung bulan Ogos ini.
Satu jawatankuasa ditubuhkan untuk MRP-PPRMS Pusat Khidmat Kabong yang merupakan satu lagi komitmen berterusan kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam membantu golongan yang susah di daerah Kabong.
Projek MRP-PPRMS ini adalah inisiatif kerajaan negeri untuk meneruskan kesinambungan usaha membantu rakyat miskin di Sarawak selepas kerajaan pusat menghentikan usaha tersebut.
Pojek ini akan memastikan mereka yang layak menerima akan memiliki rumah selesa untuk didiami. Peruntukan RM1 juta disalurkan di bawah jawatankuasa MRP-PPRMS Kabong untuk pemohon miskin atau tidak berkemampuan untuk membaik pulih rumah mereka.
Kaedah pemilihan MRP-PPRMS ini adalah berdasarkan kepada mereka yang mempunyai rumah yang uzur dan daif serta tidak selamat didiami, ibu tunggal, golongan mualaf dan golongan asnaf.
Perlaksanaan MRP-PPRMS ini banyak memberi manfaat dalam membantu mengurangkan beban rakyat miskin dan tidak berkemampuan, mengelak pemohon menunggu kelulusan begitu lama, pelaksanaan efisien dan melalui konsep gotong-royong.
Justeru bagi memastikan perlaksanaan projek ini berjalan lancar, beberapa tinjauan sepanjang projek dilaksanakan telah dilakukan oleh jawatankuasa MRP-PPRMS sendiri, manakala tinjauan serta pemeriksaan akhir dilakukan sendiri oleh Mohd Chee Kadir sebelum projek ini selesai sepenuhnya. Sebelum ini Mohd Chee Kadir telah melakukan pemeriksaan akhir di Kampung Roban, Kampung Nyabor, Kampung Gerigat, dan Kampung Muroh pada 5 Ogos 2019 yang lepas.