More
    Home Pembatalan Pembinaan Jalan Utama Kedua (STR) Boleh Undang Kemarahan Penduduk Luar Bandar

    Pembatalan Pembinaan Jalan Utama Kedua (STR) Boleh Undang Kemarahan Penduduk Luar Bandar

    KUCHING, 19 Mei 2020 (SNN): Pembatalan cadangan pembinan Jalan Utama Kedua (STR) boleh mengundang kemarahan dan kekecewaan di kalangan penduduk luar bandar.  

    Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi berkata STR berfungsi sebagai pemangkin untuk membuka koridor pembangunan baharu dan menyediakan akses kepada pelabuhan serta lapangan terbang bagi pasaran eksport. Malah ia dilihat sebagai pemangkin pembangunan kawasan luar bandar Sarawak.

    “Apabila mengunjungi dan bercakap dengan mereka yang tinggal di kawasan yang terlibat, ia memberi kita gambaran yang jelas mengenai harapan mereka yang tinggi terhadap pembangunan di kawasan mereka. Oleh itu, saya tidak dapat membayangkan reaksi dan kekecewaan penduduk luar bandar sekiranya projek seperti ini dibatalkan seperti yang dicadangkan oleh PSB.

    Kemarahan dan kekecewaan penduduk luar bandar kita dapat lihat sebelum ini  ketika pembinaan jambatan Batang Rambungan, Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Batang Igan yang ditangguhkan kerana pembatalan oleh kerajaan Persekutuan sebelumnya yang akhirnya diambil alih oleh Kerajaan Sarawak. Kekecewaan ini boleh berlaku lagi, malahan akan menjadi lebih buruk sekiranya Jalan Trunk Kedua (STR) dibatalkan kali ini”, tambah Julaihi lagi.

    Projek yang melibatkan angkaran kos RM6 bilion itu merupakan pembangunan infrastruktur penting dilaksanakan Kerajaan Sarawak. Julaihi berkata menyedari Sarawak negeri yang luas, pembangunan fasiliti-fasiliti infrastruktur perlu mengambil kira akses dan saling hubungan kawasan kepada pasaran eksport menerusi pembangunan jalan penghubung ke pelabuhan serta lapangan terbang.

    Menurutnya lebih 60 peratus rakyat Sarawak tinggal di wilayah antara Kuching dan Sibu, dengan tiga pusat populasi utama iaitu Kuching/Samarahan, Sri Aman/Betong dan Sibu/Sarikei.

    “Objektif utama projek ini ialah memendekkan jarak dan masa perjalanan dari Kuching ke Sibu iaitu hanya 2.5 jam berbanding lima jam menggunakan Jalan Pesisir sedia ada tidak termasuk masa menggunakan perkhidmatan feri dan lima jam menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo.

    “Atau hanya 225km menggunakan STR (pakej A &C) berbanding 440km menerusi Lebuh Raya Pan Borneo dan 312 km melalui Jalan Pesisir sedia ada.

    “STR (Pakej A&B) akan memendekkan jarak dan masa perjalanan dari Kuching ke Betong iaitu hanya 1.6 jam berbanding 2.6 jam menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo,” jelasnya.

    Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi

    Selain itu menurut Julaihi, STR akan menghubungkan laluan terputus (missing link) antara Sebuyau ke Simanggang menerusi Lingga di bawah Pakej B1, B2 dan menyediakan penghubung penting antara Jalan Pesisir dan Lebuh Raya Pan Borneo menerusi Roban di bawah Pakej A5.

    Beliau berkata jajaran  STR melintasi sepanjang kawasan luar bandar antara Jalan Pesisir dan Lebuh Raya Pan Borneo dianggap projek penting yang menyumbang kepada pembangunan luar bandar.

    Menurutnya cadangan pembinaan projek STR telah dibincangkan dengan mendalam dalam beberapa mesyuarat kabinet negeri dan kabinet meminta Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKRS) dan Jawatankuasa Pesisir melakukan kajian mendalam ke atas cadangan projek berkenaan meliputi aspek teknikal serta kewangan.

    “Semasa mesyuarat pada 26 Julai 2018, program STR dicadangkan menerusi Tender Konvensional Prakelayakan untuk pembinaan (direka oleh JKR sebagai konsultan dilantik) – disampaikan menerusi memo MIPD vide Ref: MIDT/MMKN/C/6/2018(31) bertarikh 2 Ogos 2018.

    “Menteri Kewangan Kedua ketika itu Dato Sri Wong Soon Koh juga hadir pada mesyuarat tersebut,” katanya menerusi kenyataan semalam.

    Julaihi juga menambah, STR juga akan membuka koridor pembangunan baharu sepanjang jajaran Jalan Pesisir dan STR pada masa sama menghubungkan Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya, Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Tanjung Manis (T-MEGA) dan Taman Perindustrian Samalaju.

    Pada dasarnya STR akan mewujudkan rangkaian untuk memperkukuh dan menyepadukan aktiviti-aktiviti sosioekonomi, katanya.

    “Pertimbangan pelaksanaan projek STR juga untuk memastikan penglibatan berkesan kontraktor tempatan serta Bumiputera dalam projek ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu berkata rakyat yang tinggal di sepanjang kawasan pesisir pasti mendapat manfaat iaitu meningkatkan pendapatan dan seterusnya taraf hidup ke tahap yang sama dengan negeri-negeri kaya di Malaysia menjelang 2030.

    Ia juga katanya, akan merapatkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar serta mengurangkan kemiskinan.

    Secara keseluruhan katanya, pembangunan STR akan secara kekal meningkatkan kualiti hidup, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan menggerakkan keseluruhan sosioekonomi di kawasan pesisir kepada rantaian nilai.

    “Cadangan PSB (Parti Sarawak Bersatu) untuk membatalkan  projek STR ini menimbulkan reaksi kurang senang dalam kalangan wakil rakyat luar bandar.

    “Suara rakyat yang mereka wakili cukup jelas dan lantang membuktikan STR amat diperlukan seperti juga Jalan Pesisir dan Lebuh Raya Pan Borneo.

    “Rakyat di kawasan luar yang mereka wakili juga berhak mendapat kemudahan perhubungan yang lebih baik seperti juga rakyat di kawasan bandar seperti Kuching, Sibu atau Miri.

    “Jangan nafikan hak mereka. Berikan mereka peluang untuk meningkatkan tahap sosioekonomi masing-masing selain daripada memberi kemudahan mobiliti yang lebih cepat. Suara rakyat luar bandar di kawasan yang mereka wakili dan di mana dibina dan dilalui STR wajar dihormati,” ujarnya.

    “Kesimpulannya pelaksanaan projek STR sebahagian daripada rancangan jangka panjang Kerajaan Sarawak untuk memperbaiki rangkaian infrastruktur jalan raya Sarawak yang memberi tumpuan menjana peluang pertumbuhan sosioekonomi, kawasan pertumbuhan baharu dan pembangunan bakat teknikal dalam kalangan penduduk setempat termasuk meningkatkan aktiviti sosioekonomi di bandar-bandar utama,” katanya.

    Sumber : ADUN N.27 Sebuyau

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Pembinaan lapangan terbang baharu di Kuching akan menjadi nilai tambah daya...

    0
    KUCHING, 25 DISEMBER 2024: Lapangan terbang antarabangsa baharu yang dicadangkan di Kuching akan menjadi nilai tambah dalam meningkatkan daya tarikan Sarawak untuk perniagaan, pelaburan...