Kabong, 09 Januari 2020 (SNN) : Pelajar cemerlang yang mendapat keputusan baik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun 2019 untuk DUN Kabong telah menerima hadiah galakan daripada ADUN Kabong, Mohd. Chee Kadir pada Majlis Penyampaian Insentif UPSR Tahun 2019 baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri N.40 Kabong, Mohd Chee Kadir telah menyampaikan insentif kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR tahun 2019 bagi DUN Kabong.
Seramai 2 orang pelajar yang mendapat keputusan 6A telah hadir menerima insentif masing-masing bersama ibu bapa mereka iaitu insentif wang tunai berjumlah RM1000. Kedua-dua pelajar yang mendapat 6A tersebut adalah dari SK Kampung Emplam dan SK Abang Leman Kabong,
Sementara itu 6 orang pelajar yang mendapat keputusan 5A turut mendapat penghargaan di mana mereka masing-masing menerima RM500. Para pelajar ini dari pelbagai sekolah di DUN Kabong iaitu SK To’Eman Nyabor, SK Abang Moh Sessang, SJK Chuang Hua Roban dan SK Abang Leman Kabong.
Seterusnya seramai 4 orang pelajar dari SK Kampung Emplam, SK Abang Moh Sessang dan SK Abang Leman Kabong yang mendapat keputusan 4A juga turut masing-masing menerima RM300 pada majlis berkenaan.
Pada majlis berkenaan Mohd Chee Kadir merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di DUN Kabong yang telah menerima keputusan masing-masing dan berharap pelajar terlibat akan terus menggandakan usaha untuk terus berjaya di sekolah menengah pada tahun 2020.
Seterusnya Mohd Chee Kadir berkata majlis penghargaan sebegini penting bagi memberi penghargaan dan galakan kepada murid-murid yang cemerlang dan berpotensi dalam bidang akademik.
Pada majlis yang sama Mohd Chee turut menyampaikan sumbangan kepada PIBG SK St Paul Roban dan Jawatankuasa Masjid Ar-Rahim Kampung Gerigat.