KOTA SAMARAHAN, 27 MEI 2021 (SNN) : Seorang lelaki yang dikhuatiri dibaham buaya semasa keluar menjala di Sungai Batang Samarahan pada pagi semalam ditemui tidak jauh dari lokasi mangsa hilang pada jam 1.58 petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan berkata, pihak bomba menggunakan kaedah ‘gripping iron’ untuk mengambil mangsa yang berada di tengah sungai Kampung Naie Lama iaitu kira-kira satu kilometer dari pos kawalan bomba.
“Mayat mangsa, Allistar Rabanie, 30 tahun ketika ditemui, terdapat kesan gigitan di bahagian rusuk kanan dan jala milik mangsa masih terikat di pergelangan tangannya.
“Mayat mangsa kemudian diangkut menggunakan bot sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” kata satu kenyataan itu.
Susulan penemuan mayat itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang telah masuk hari ke-2 ditamatkan sepenuhnya jam 3 petang.