KUCHING, 10 FEBRUARI 2021 (SNN) : Lima penghuni bertindak terjun dari tingkat empat di sebuah perumahan flat kediaman mereka di Taman Suria Jaya, Jalan Matang selepas terlibat dalam satu kebakaran pada awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan satu kebakaran beralamat Blok F, Lorong 7, Taman Suria Jaya, Jalan Matang, sekitar jam 5.12 pagi tadi.
“Sejurus menerima laporan terbabit, dua pasukan dari dua buah iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dan Petra Jaya dikerahkan ke lokasi bagi memadam dan menyelamatkan mangsa kebakaran.
“Anggota bomba yang tiba dilokasi menggunakan satu aliran air 300 kaki dengan dua nozel bagi memadam ke dalam bangunan manakala pasukan satu lagi membentang satu aliran 200 kaki dengan dua nozel bagi pemadaman luar bangunan,” kata kenyataan itu.
Jelasnya lagi, pasukan bomba menggunakan dua pili air bomba yang sedia ada bagi memadamkan 14 buah unit rumah yang terbakar dalam blok flat terbabit.
“Laporan awal mendapati kesemua lapan mangsa dalam keadaan selamat yang melibatkan sepasang suami isteri bersama bayi dan lima lagi mangsa yang cedera akibat terjun dari bangunan berkenaan untuk menyelamatkan diri,” ujarnya.
Jelasnya, pihak bomba berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya sekitar jam 5.43 pagi dan operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.21 pagi.
