KAPIT, 10 OKTOBER 2020 (SNN) : Seorang lelaki warganegara Britain ditemui mati dalam keadaan sudah membusuk di sebuah rumah di Taman Kapit petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kapit DSP Freddy Bian Stanislaus berkata, ketika ditemui pihaknya mendapati mayat mangsa dalam keadaan tidak berbaju dan terlentang di dalam bilik mandi.
Mangsa, Ian Willian, 66 tahun dipercayai mati beberapa hari yang lalu selepas hal itu disedari oleh anak saudaranya yang datang ke rumah mangsa.
“Terdahulu, pengadu memeriksa rumah mangsa selepas menghidu bau busuk datang dari rumah mangsa dan masuk ke dalam kediaman pada jam 4.30 petang sebelum menemui mangsa yang sudah mulai membusuk di bilik mandi tingkat atas rumah itu.
“Mangsa dikatakan tinggal bersendirian manakala isterinya kini berada di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.
Ujarnya, pengadu yang menjumpai mayat tersebut terus menghubungi pihak polis pada jam sekitar 6.08 petang pada hari yang sama.
Tambah Freddy, pemeriksaan awal di tempat kejadian dan ke atas mayat mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hosptial Kapit untuk bedah siasat.