LIMBANG, 12 JULAI 2022 (SNN): Peristiwa Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail dalam sejarah Islam sering menjadi pedoman dan panduan kepada umat Islam di seluruh dunia meraikan Hari Raya Aidiladha.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia Datuk Hasbi Habibollah, Allah S.W.T sentiasa menguji hambaNya untuk melihat sejauh mana keimanan dan ketaqwaan umat Islam menjalankan perintahNya.
“Majlis Qurban ini dijalankan sebagai mana yang disyariatkan oleh agama kita berkaitan kisah Nabi Ibrahim a.s yang diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s.
“Dalam peristiwa itu Allah S.W.T menguji kepatuhan seorang nabi dalam menjalankan perintahNya namun Allah S.W.T itu Maha Pengasih Maha Penyayang dan anak Nabi Ibrahim itu telah ditukar dengan seekor kibas,” katanya semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidiladha 2022 di Dewan Kampung Patiambun, Limbang pada Isnin.
Ujar beliau lagi, dalam konteks hari ini semua ujian ini adalah untuk melihat sejauh mana kesediaan dan kesanggupan umat Islam mengharunginya dengan penuh keimanan, kesabaran dan keyakinan.
Datuk Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang turut memberitahu untuk mencapai sesuatu dan matlamat yang dikejar pastinya memerlukan pengorbanan sama ada pengorbanan kecil, besar, berat atau ringan mesti ada pengorbanan.
“Untuk menjadi orang yang berjaya kita perlu berkorban masa, tidur dan sebagainya serta mestilah rajin berusaha, kita perlu mengorbankan sementara keseronokan di dunia ini untuk mengejar cita-cita kita menjadi orang yang senang pada masa depan.
“Selain banyak berkorban, kita juga mestilah banyakkan berdoa untuk mencapai impian dan cita-cita kita, begitu juga untuk masuk ke syurgaNya kita sentiasa berdoa dalam solat kita,” ujar beliau lagi.
Beliau juga mengingatkan semua umat Islam menghidupkan masjid dan surau dengan aktiviti berfaedah selain sebagai tempat menunaikan ibadat dan dalam masa yang sama berdoa agar dipermudahkan segala urusan harian.
Hadir sama wakil Pegawai Daerah Limbang Mohd Firhan Iskandar Goh, wakil Pejabat Agama Islam Bahagian Limbang Abdul Rahman Iqbal Aldi, Timbalan Pegawai MARA Daerah Limbang Siti Ramona Razali, Penghulu Sahat Bagol dan Ketua Kampung Patiambun Naim @ Ahmad Mail.-UKAS.