LAWAS, 02 DISEMBER 2020 (SNN) : Tahun ini kerajaan negeri Sarawak peruntukan sejumlah RM8.2 juta kepada Jabatan Pertanian Daerah Lawas bagi melaksanakan projek pertanian dan penternakan untuk kawasan berkenaan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dengan adanya peruntukan itu akan dapat memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan Lawas dengan melibatkan diri mereka dalam bidang pertanian dan penternakan.
“Secara tidak langsung dengan adanya peneyertaan mereka itu kelak dapat meningkatkan pendapatan isi rumah mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) Zon Trusan dan Penyerahan Sumbangan Zakat ke Sekolah oleh Agro Bank di Gelanggang Futsal Lawas pada Isnin.
Tambah beliau, dari jumlah yang diberikan itu sebanyak RM1.7 juta dikhaskan untuk membangunkan aktiviti pertanian di kawasan Trusan.
Ujar beliau lagi, petani dan penternak haruslah melibatkan diri dengan penggunaan teknologi moden yang akan membantu meningkatkan hasil pertanian mereka disamping kegusaran untuk memasarkan produk juga tidak perlu dibimbangkan lagi selepas siapnya Pusat Pengumpulan, Pemprosesan, dan Pembungkusan Produk Pertanian (CPPC) kelak yang akan membantu mereka memasarkan hasil pertanian.