Kuala Lumpur, 07 JULAI 2020 (SNN) : Jabatan Imigresen Malaysia hari ini meminta orang awam bekerjasama untuk menjejak seorang warga Bangladesh bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) selepas muncul isu satu dokumentasi dikeluarkan oleh Al Jazeera Tv baru-baru ini.
Beberapa hari lepas kecoh di laman media sosial apabila tersebar dokumentasi yang dikeluarkan oleh siaran televisyen itu yang bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang mendakwa wujud diskriminasi dalam cara Malaysia mengendali kes Covid-19 ke atas warga asing dalam tahanan.
Hal ini makin menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia apabila seorang warga Bangladesh dikenali sebagai Md Rayhan Kabir, 25 tahun muncul dalam satu sesi temu bual yang memberi pandangan atau komen yang tidak benar terhadap pihak pengurusan yang mengurus warga asing dalam menangani wabak tersebut.
Ujar pihak imigresen, kali terakhir individu itu dikesan beralamat di Sirhan Legacy, Jalan Joke Yew, Kuala Lumpur. Tambahnya, mereka yang mempunyai maklumat berkaitan diminta untuk tampil menghubungi Penolong Pengarah Imigresen (PPI) Nurulmasha Nazlihan Hussin, Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya di talian 03-8801298/1294 pada waktu pejabat.
Jelasnya, kenyataan dari pihak Al Jazeera adalah tidak berasas dan membuat spekulasi sendiri tanpa merujuk kepada sumber yang sahih. Malahan isu ini telah menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia dan dikatakan ramai mula menghentam dengan komen-komen di laman rasmi rancangan tv itu sejak beberapa hari yang lalu.-BERNAMA.