KOTA SAMARAHAN, 2 Jun 2019 (SNN) –Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS) tidak ketinggalan menyemarakkan keindahan Islam pada bulan Ramadan tahun ini dalam membantu golongan asnaf. Sesungguhnya agama Islam membela golongan yang terpinggir dan tertindas dalam masyarakat untuk menikmati kurniaan Allah SWT. Dalam konteks masyarakat Melayu Sarawak amalan inilah yang mengukuhkan ikatan persaudaraan walaupun terdapat banyak pertubuhan sukarela yang turut turun padang.
Pada pagi ini, 2 Jun 2019, IGMS telah menganjurkan Program Ikatan Kasih sempena bulan Ramadan mubarak di Kampung Empila, Samarahan. Program Ikatan Kasih bertujuan menyiarkan keindahan Islam yang prihatin terhadap golongan asnaf dalam menyambut Hari Raya Adilfitri dalam masa beberapa hari lagi. Yang Dipertua IGMS, Datu Dr. Hj. Sanib bin Hj. Said, telah merasmikan program ini di Masjid Darul Sabirin. Beliau berkata keindahan agama Islam terserlah pada bulan Ramadan mubarak kerana mempedulikan golongan asnaf. Inilah tanda kasih sayang antara manusia yang diajar oleh agama Islam yang harus disebarkan.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Penghulu, Tuan Hj. Bojeng bin Ajit; Ketua Kaum, Hj. Bojeng bin Amit; Pengerusi Jawatankuasa Masjid Sabirin, Muhamad bin Hj. Bujang Mahadi; Naib YDP Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak, Junaidi bin Ganai, dan Setiausaha Agung IGMS, Samsol bin Morshidi Bujang.

Dalam ucapannya, Penghulu, Bojeng berkata bahawa beliau dan penduduk Kampung Empila berasa terharu dan berterima kasih atas usaha IGMS. Beliau percaya sumbangan ini sedikit sebanyak akan meringankan beban para asnaf untuk dapat bergembira pada Hari Raya Adilfitri yang menjelang tiba. Beliau juga menerangkan bahawa Kampung Empila ini mempunyai seramai lebih dari 2,000 orang penduduk dan memiliki lebih dari 300 buah rumah. Kampung ini adalah yang kedua terbesar di Bahagian Samarahan.

Program Ikatan Kasih kali ini melibatkan seramai 30 orang asnaf, sebilangan besarnya wanita berusia, telah menerima sumbangan berbentuk beras, telur, minyak masak dan bahan makanan lain. Majlis hari ini adalah program yang keenam tahun oleh IGMS. Pada tahun ini pihak yang telah menghulurkan sumbangan kewangan adalah IGMS Harmoni Sdn Bhd dan Saramedia Global Sdn Bhd (SMG), dua buah syarikat yang diterajui oleh ahli IGMS sendiri dan juga sumbangan peribadi ahli IGMS.