More
    Home Sarawak Samarahan Ibubapa Tarik Nafas Lega, Anak Pulang Dengan Selamat

    Ibubapa Tarik Nafas Lega, Anak Pulang Dengan Selamat

    KOTA SAMARAHAN, 20 Mei 2020 (SNN): Kegembiraan terpancar di wajah ibubapa yang menanti anak-anak mereka pulang ke pangkuan setelah lebih satu bulan terkandas di dalam kampus UNIMAS sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

    UNIMAS pada minggu lepas telah membenarkan ibubapa menggunakan pengangkutan sendiri untuk mengambil anak-anak mereka, namun pergerakan adalah terbatas dengan hanya dibenarkan menggunakan kaedah pandu lalu (Drive-Thru) di saat proses pengambilan dijalankan di DeTAR PUTRA UNIMAS.

    Antara pelajar yang dijemput keluarga adalah Audrey Steccy anak Douglas, dari Tebedu, tersenyum lega melihat ayahnya yang menunggu di dalam kereta dari jauh.

    “Saya sangat gembira dan bersyukur kerana dapat pulang dan bertemu dengan keluarga di Tebedu. Terima kasih saya ucapkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan UNIMAS kerana membenarkan saya pulang ke rumah,” katanya yang merupakan penuntut Kejuruteraan Perisian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat.

    Nur Aliah Daud pula, penuntut tahun akhir Pengurusan Sumber Sains Tumbuhan dari Fakulti Sains dan Teknologi Sumber anak jati Kuching Sarawak mengatakan sebaik sahaja mendapat berita mengenai kebenaran untuk pulang, beliau dan rakan-rakan terus menghubungi keluarga dan mengemas barangan untuk dibawa bersama.

    Terima kasih kerana menjaga kami dengan amat baik sekali selama ini,” katanya yang tidak lekang dengan senyuman.

    Nur Aliah Daud yang tidak sabar berbuka puasa bersama keluarga

    Manakala pelajar jurusan Jururawat tahun tiga Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Helwin Marshal Anak Edwin tidak sabar untuk bertemu dengan keluarga.

    “Sepanjang saya di dalam kampus, saya amat bimbang dengan keluarga di rumah. Apabila mendapat khabar begini, saya benar-benar bersyukur kepada tuhan,” katanya yang merupakan anak sulung dari dua orang adik beradik.

    Beliau turut berterima kasih dengan semua barisan hadapan yang menjaga mereka selama ini.

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih terutamanya kepada Kerajaan Malaysia atas usaha-usaha memerangi wabak Covid 19, para petugas barisan hadapan seperti doktor, jururawat, pekerja di hospital, polis, tentera dan pihak pihak lain yang telah bertungkus lumus berkerja katanya.

    “Tak lupa buat KPT dan UNIMAS kerana telah menjaga kebajikan pelajar sepanjang tempoh PKP di kampus,” sambungnya lagi.

    Tidak sabar menunggu keluarga menjemput pulang

    Manakala salah seorang pelajar yang dihantar pulang menggunakan bas iaitu Dayang Norshazleen Awang Kalong, turut mengucap rasa syukur kerana telah selamat sampai ke Mukah pada 2 Mei lepas.

    Pelajar Tahun 3 Program Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan itu berkata, beliau amat seronok berjumpa semula, bersahur dan berbuka puasa bersama keluarga.

    “Saya telah selamat tiba di Mukah dan rasa seronok tidak terkata kerana dapat bersama keluarga pada bulan Ramadan,” katanya yang dipetik dalam facebook miliknya.

    Manakala pasangan suami isteri, John Jembai Gisa dan Leena Tero menarik nafas lega apabila anak tunggal mereka, Julian Valerie penuntut Program Doktor Perubatan Tahun 1, telah selamat sampai di Sibu pada 3 Mei lepas menggunakan bas malam yang disediakan oleh UNIMAS.

    “Kami begitu resah menunggu Julian dan hanya Tuhan sahaja yang mengetahui perasaan ketika itu.

    “Tetapi syukurlah, beliau telah kembali ke pangkuan kami dan kami amat berterima kasih kepada KPT dan UNIMAS kerana menjaga anak kami dengan baik sekali selama ini,”katanya semasa dihubungi.

    Seramai 73 orang pelajar dari kawasan Kuching, Samarahan dan Serian telah dijemput oleh penjaga mereka masing-masing di Kampus UNIMAS. Pastinya ramai lagi keluarga yang lain menunggu kepulangan anak mereka. Bagi pelajar yang masih menunggu giliran sama ada dalam atau luar kampus diharapkan bersabar kerana pihak Universiti dalam proses menyelaras dan merancang pergerakan pulang pelajar secara berperingkat dan tiada pelajar yang terkecuali.

    .Sumber : UNIMAS Global

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Pembinaan lapangan terbang baharu di Kuching akan menjadi nilai tambah daya...

    0
    KUCHING, 25 DISEMBER 2024: Lapangan terbang antarabangsa baharu yang dicadangkan di Kuching akan menjadi nilai tambah dalam meningkatkan daya tarikan Sarawak untuk perniagaan, pelaburan...