New Zealand, 20 Mac 2019 (SNN) – Dengan hashtag #headscarfforharmony semua rakyat New Zealand tidak mengira agama digalakkan memakai tudung Jumaat ini untuk menunjukkan sokongan kepada komuniti Islam negara itu.
Susulan tragedi serangan pengganas di New Zealand yang meragut nyawa 50 orang Islam di negara itu, dan mengakibatkan ramai yang cedera, satu kempen memakai tudung akan diadakan di seluruh New Zealand pada hari Jumaat ini. Dengan hashtag #headscarfforharmony, seluruh penduduk di New Zealand tanpa mengira agama digalakkan untuk memakai tudung dan memuat naik gambar di media sosial dengan hashtag tersebut.
Kempen yang akan dilakukan pada Jumaat, 22 Mac 2019 ini diadakan untuk menunjukkan rasa kasih dan sayang serta sokongan buat penduduk beragama Islam di negara itu. Idea ini telah dicetuskan oleh Doktor Thaya Ashman yang merupakan seorang doktor sukarelawan di Afghanistan. Beliau telah lama bergaul dengan komuniti Islam dan melihat kempen ini mampu memberi sokongan kepada mereka yang kehilangan orang tersayang.
“Kami mahu menunjukkan kasih sayang, sokongan dan kesedihan kami di atas kehilangan nyawa 50 ibu, bapa, anak, kawan dan rakan selepas serangan pengganas Jumaat lalu di Christchurch,” kata penganjur acara itu. Wakil komuniti Islam menyambut baik idea itu dan menyatakan rasa terharu mereka dengan langkah berkenaan. Pemimpin Majlis Wanita Islam New Zealand berkata, ‘paparan solidariti dan sokongan amat dihargai mereka’.
Rakyat New Zealand disaran bersama-sama rakan dan rakan sekerja, mengambil gambar di tempat kerja, sekolah atau padang permainan, dan berkongsi di media sosial dengan hashtag #headscarfforharmony. Sumber BH