KUCHING, 18 JULAI 2021 (SNN) : Tindakan pantas dan berani sekumpulan Rider Grab Food dan orang awam yang bertindak terjun ke dalam parit besar demi menyelamatkan nyawa satu keluarga yang mengalami kemalangan amat dikagumi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar jam 9.23 malam di alamat Jalan Camar belakang SMK Sakura sebelum mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi.
Bagaimanapun, setibanya dilokasi kesemua mangsa dilaporkan selamat dan berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan beberapa penghantar makanan (rider) Grab Food yang melihat kejadian berlaku.
Menurut info awal kejadian, seramai 12 orang yang terdiri daripada rider Grab Food dan orang awam nekad terjun menyemalatkan mangsa yang teridiri daripada 2 orang dewasa dan 2 kanak-kanak.
Kesemua mangsa yang hanya mengalami cedera ringan dan trauma dikejarkan ke hospital menggunakan ERMS bomba.