LAWAS, 02 MAC 2021 (SNN) : Kawasan Daerah Lawas akan terus menikmati pelbagai projek pembangunan yang memberi manfaat kepada kesejahteraan penduduk Lawas melalui usahasama Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sarawak.
Menurut Timbalan Menteri II ( Pembangunan Luar Bandar Malaysia), Dato’ Henry Sum Agong, perkara ini dapat dilihat menerusi beberapa projek yang dilaksanakan oleh kedua-dua kerajaan bagi memastikan rakyat dapat menikmati pembangunan bersama. Contohnya, sebanyak RM10 juta telah diperuntukan bagi membina Jalan Perhubungan Desa (JPD) yang melibatkan dua buah kampung iaitu Long Sukang dan Punang Berayung.
Jalan menghubung ke kawasan sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Long Tukong juga dititikberatkan dengan jumlah dana sebanyak RM1.5 juta. Selain Itu, Projek Perumahan Rumah Termiskin (PPRT) turut diluluskan dengan capaian target sebanyak 200 buah rumah akan dibantu dan ini akan dilaksanakan dengan kerjasama bersama Giat MARA di bawah agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Beliau berkata sedemikian semasa sidang media mengenai Status Projek Pembangunan di Daerah Lawas di Hotel Seri Malaysia pada Sabtu.
Tambah beliau, Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) yang berada di bawah Kerajaan Sarawak ini berfungsi sebagai agensi dalam mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan di Bahagian Limbang keseluruhannya bagi mengimbangi pertumbuhan pembangunan kawasan itu dengan kawasan-kawasan lain di Sarawak.
Turut hadir sama Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Pembangunan Luar Bandar Mohd Fadzil Azma Mat Said, Temenggong Kading Silo, Penghulu Davies Parang Udan dan wakil-wakil media.-SUMBER UKAS.