SEBUYAU, 10 November 2019 (SNN) : Umat Islam harus membina kekuatan bagi mengatasi cabaran dalam menjadi umat Islam “Ummah Gemilang”. Dalam usaha membina kekuatan, kita perlu melihat apakah cabaran-cabaran di sekeliling kita yang perlu kita tangani dan atasi untuk membina kekuatan,” jelas YB Datuk Haji Julaihi Haji Narawi Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, yang juga merupakan ADUN N.27 Sebuyau.
Beliau hadir mengetuai perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat Sebuyau pagi semalam. Turut hadir ialah Ahli Parlimen P.201 Batang Lupar, YB Dato Seri Hajah Rohani Abdul Karim.
” Antara cabaran tersebut ialah memupuk, memantap dan meningkatkan kerjasama antara umat Islam dari semua lapisan dan generasi”.
Selain itu cabaran kedua pula ialah membina kekuatan ekonomi melalui peningkatan hasil tani dan nelayan sebagai sumber makanan yang mencukupi serta sumber pendapatan utama. Ini adalah penting agar tidak terlalu bergantung kepada pihak lain sehingga boleh terperangkap dan terikat dengan pihak lain. Tanah kita subur dan kawasan perairan kita banyak sumber perikanan, ujar beliau.
Seterusnya cabaran yang ketiga pula adalah membina ikatan perpaduan yang kukuh anatara kita sesama umat Islam, yang keempat , membina kekuatan dan kejayaan yang cemerlang dalam bidang pendidikan dan yang terakhir iaitu yang kelima menurut Julaihi, “apabila kekuatan umat Islam dapat dicapai seperti dalam kesemua cabaran yang dinyatakan dalam cabaran pertama hingga keempat tadi, maka barulah kita menjadi umat Islam yang kuat dan apabila umat Islam itu kuat maka boleh kita umat Islam membina serta membawa umat Islam ke arah “UMMAH GEMILANG”.
Menurut Julaihi lagi, pihak lain juga akan menghormati kita umat Islam dan sentiasa bersedia menjalin kerjasama yang baik dengan kita umat Islam. Oleh itu,amat penting kita menghayati tema Majlis Sambutan Maulidur Rasul “UMMAH GEMILANG” tahun ini 1441H/2019 sebagai langkah yang benar-benar menjadikan kita umat Islam sebagai UMMAH GEMILANG, ujarnya.