KOTA SAMARAHAN, 19 FEBRUARI 2021 (SNN) : Ekoran hujan lebat sejak semalam hingga hari ini sebahagian besar kawasan di Bandar Kuching dan Kota Samarahan telah dinaiki air menyebabkan penduduk yang terkesan cemas.
Setakat pagi ini hampir di kesemua jalan yang dinaiki air telah berlaku kesesakan terutama di sepanjang jalan Kuching-Samarahan Expressway yang memaksa pengguna jalan raya menggunakan satu lorong sahaja manakala di bulatan bangunan INTAN Sarawak ditenggelami air menyebabkan jalan sesak di kesemua arah persimpangan.
Beberapa kawasan perumahan di sekitar Samarahan turut dinaiki air berikutan sistem peparitan yang sedia ada tidak mampu menampung jumlah air yang mengalir ekoran hujan lebat tanpa henti.
Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang dijangka akan melakukan tinjauan segera di beberapa kawasan yang terjejas akibat banjir di sekitar Samarahan dan mengingatkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Kota Samarahan (JPBBS) untuk merangka langkah proaktif bagi mendepani bencana berganda iaitu banjir dan penularan wabak Covid-19 yang agak serius di bahagian itu.
Jelasnya, penduduk sekitar Samarahan yang tinggal di kawasan kediaman berisiko terkena banjir diminta agar sentiasa berwaspada dan bersiap siaga akan sebarang kemungkinan yang berlaku sekiranya hujan lebat masih berterusan serta segera menghubungi pihak berwajib sekiranya memerlukan bantuan.