LIMBANG 10 JULAI 2020 (SNN) : “Mohon kerajaan Sarawak bantu ringankan beban kami,” itulah keluhan penduduk Limbang selepas kerajaan Negara Brunei semalam mengumumkan penguatkuasaan Perintah Bayaran Keluar dan Masuk, 2020 ke atas pelawat luar dan rakyat negara itu bermula 1 Ogos ini.
Pengerusi Persatuan Melayu Limbang (PML) Mohamad Abu Bakar berkata, penduduk disini akur dengan keputusan tersebut namun mereka merayu agar kerajaan negeri Sarawak melihat dan mengkaji sedalam-dalamnya kesan caj tersebut khususnya penduduk Limbang yang kedudukannya tersepit secara geografi di tengah-tengah Negara Brunei Darussalam.
“Sebagai rakyat yang terkesan akibat keputusan kerajaan negara jiran itu, kami amatlah berharap pihak kerajaan negeri melakukan apa jua usaha bagi mendapatkan kebenaran bagi pihak penduduk Limbang berulang alik ke Miri atau Lawas,”katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, pihak kerajaan juga seharusnya mencari jalan ataupun mempercepatkan pembinaan jalan alternatif yang menghubungkan Limbang ke Miri.”Ini adalah hasrat kerajaan untuk membangunkan jalan terus ke Miri tanpa melalui Brunei dan kami berharap ianya dipercepatkan dan bukannya hanya menjadi janji manis di mulut,” ujarnya lagi.
Justeru, kesan kadar caj ini bila dilaksanakan kelak sudah pasti amat membebankan penduduk terutama bagi mereka yang selalu ulang alik atas urusan kerja atau menziarahi saudara-mara di Miri atau Lawas.-Nizal.