KUCHING, 09 APRIL 2021 (SNN) : Susulan tukar satu rakaman video Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam baru-baru ini, beliau mengakui atas kesilapan yang berlaku dengan tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 dan bersedia untuk dikenakan bayaran kompaun.
Perkara itu dijelaskan oleh beliau sendiri dan mengesahkan bahawa pihak polis sudahpun menghubunginya kerana gagal memakai pelitup muka semasa minum sambil berjalan ketika melakukan lawatan kerja di Matu baru-baru ini.
“Saya pergi ke gerai berkenaan untuk membeli barang dan membuka pelitup muka untuk minum dan makan selepas membuat lawatan di kawasan tersebut.
“Akan tetapi silap saya, disebabkan tergesa-gesa untuk berlepas meninggalkan Matu sehingga saya terlupa dan tidak sedar untuk memakai semula pelitup muka berkenaan,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Perhimpunan Khas Pusaka 2021 di Wisma Sumber Alam Kuching pada Khamis.
Ujar beliau, disebabkan mahu cepat saya menghulurkan duit sebagai bayaran pembelian kepada para peniaga di gerai berkenaan dan meminta pegawai khasnya untuk membungkus semua barangan yang telah dibeli untuk dibawa pulang.