KUCHING, 25 DISEMBER 2023 (SNN): Amalan kunjung-mengunjungi setiap kali musim perayaan wajar diteruskan dan dikekalkan bagi memupuk perpaduan antara kaum dan silaturahim di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan, dalam kita meraikan perayaan berbilang kaum tanpa mengira rentas agama dan bangsa, masyarakat seharusnya tidak melupakan golongan yang kurang bernasib baik agar sama-sama dapat menikmati kemeriahan sambutan perayaan.
“Dalam kita meraikan perpaduan dengan pelbagai latar belakang kaum dan agama, jangan kita melupakan mereka yang memerlukan serta teruskan semangat dan amalan kunjung-mengunjungi bagi mengukuhkan lagi silaturahim,” kata beliau dalam Perutusan Khas sempena Sambutan Hari Krismas & Tahun Baru 2024 pada Ahad.
Datuk Amar yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar ii juga memohon agar rakyat di negeri ini terus kekal bersatu-padu dan ketepikan perbezaan fahaman politik demi menjamin keharmonian terus terjaga.
Akhir kata, Datuk Amar Awang Tengah mengucapkan ‘Merry Christmas’ dan ‘Selamat Tahun Baru 2024’ buat semua yang meraikannya.-UKAS