KUCHING, 08 MEI 2024: Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) dijangka akan turut serta dalam Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) yang berlangsung pada Jun tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi AKYBMS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, penyertaan itu adalah menerusi pembentukan sebuah kumpulan Ensemble Melayu Nusantara.
Menurutnya, melalui kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, AKYBMS sedang berusaha agar beberapa warisan budaya Melayu Sarawak diiktiraf dan dimasukkan ke dalam senarai warisan negeri dan dimartabatkan sebagai warisan dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO).
“Beberapa karya dan manuskrip tulisan tangan Jawi-Melayu akan dicadangkan untuk tujuan tersebut pada tahun ini.
“Antaranya ialah novel Hikayat Panglima Nikosa (1876), Syair Datu Marapati (1885), Manuskrip Lawas dan Limbang, Hikayat Datuk Marapati (1932), Syair Tarsilah Cetera Datuk Gudam dangan Temenggong Kadir (1942) dan manuskrip Sejarah Negeri Banting serta Kanun Negeri Banting,” katanya semasa berucap pada Majlis Samarindok Aidilfitri 2024M/1445H Anjuran AKYBMS pada Selasa.
Majlis turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah turut menjelaskan, projek Wisma Melayu Sarawak di Jalan Diplomatik Petra Jaya di bawah AKYBMS dijangka siap pada Mei 2025.
“Wisma ini akan memiliki galeri sejarah dan budaya Melayu, cafeteria, bilik seminar dan sebuah dewan dengan kapasiti 2000 orang sesuai untuk acara seperti majlis perkahwinan dan juga persidangan,” tambahnya.
Turut hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak; Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengurus Besar AKYBMS; Datu Dr Hj Sanib bin Hj Said dan tetamu kenamaan yang lain.-UKAS