KUCHING, 4 OGOS 2019 (SNN) – Arena bola sepak tempatan dirundung kontroversi ekoran beberapa keputusan dan kredibiliti pengadil Kuching tercalar serta dipersoal masyarakat.
Dalam aksi perlawanan pertama minggu ke-3 Liga Bola Sepak Persahabatan KSRRSK-JKR 2019 yang berlangsung di Padang D, Kompleks Sukan Negeri Sarawak, pada jam 1.30 petang antara Afifah FC dan JKR Sarawak, tercetus beberapa insiden kekecohan yang berpunca daripada tindakan kontroversi pengadil pertama perlawanan, Khairil Anuar.
Insiden Kad Merah dan Kekecohan Sepakan Percuma
Menurut sumber tempatan yang enggan dikenali, beliau dipetik sebagai berkata; hukuman kad merah yang dilayangkan kepada pemain Afifah FC, Mohd Zahiddi, tidak sepatutnya berlaku kerana (beliau) langsung tiada apa-apa tindakan agresif (daripada permain tersebut) yang boleh menjustifikasikan hukuman buang padang secara terus dikenakan.
Insiden kedua yang menyaksikan pergelutan antara pemain yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil juga menyerlahkan lagi wibawa pengadil yang rendah mutunya.
“Keputusan pengadil berkaitan insiden menghukum penjaga gol Afifah FC dengan memberikan sepakan percuma kepada JKR Sarawak atas alasan melengah-lengahkan masa juga adalah satu kesilapan dan bias. Langsung tak masuk akal.”
“Secara jelas, sebelum kekecohan di hadapan gol, penjaga gol Afifah FC dilihat berkali-kali dihadang (blocked) oleh pemain lawan untuk membuat sepakan namun pengadil perlawanan, Khairil Anuar gagal mempertimbangkan perkara ini dan dikhuatiri berlaku cuai dengan sengaja.” Ujar sumber itu lagi.
Bangkit penuh semangat membara
Kendatipun tertekan, Afifah FC terus bangkit dan beraksi cemerlang (walau tempang tanpa penyerang berbisa; Mohd Zahiddi) setelah mendahului dengan cubaan padu dari luar kawasan penalti daripada pemain pertahanan; Mohd Effizul Ramzi seterusnya mencetak gol pembakar semangat buat rakan sepasukan pada minit ke-34.
JKR Sarawak terus gigih mencatur strategi dan mengasak serangan untuk mengikat kedudukan, namun, beberapa percubaan terbaik mereka dinafikan oleh pertahanan Afifah FC yang ampuh memberikan tentangan hebat.
Dalam keriuhan sorakan penyokong, semangat pemain-pemain JKR Sarawak mulai luntur pada ambang detik akhir perlawanan, apabila Afifah FC dihadiahi sepakan penalti ekoran tindakan penjaga gol menjatuhkan penyerang gantian, Mohd Azwan Nor.
Pemain berjersi nombor 10 yang beraksi pada babak separuh masa kedua itu mudah menyempurnakan sepakan penalti tersebut pada minit ke-69 seterusnya memperkukuhkan kemenangan bermaruah Afifah FC 2-0.
Perlawanan lain bagi minggu ke-3 ini turut mempamerkan kehebatan Real Dosm ‘meratah’ tanpa belas kasihan; Sains FC dengan keputusan 6-0. Manakala, Welfare FU sekadar menang tipis ke atas Promax FC dengan jaringan 1-0.
Liga bola sepak persahabatan ini akan meneruskan cabaran bagi minggu ke-4 pada 12 Ogos 2019 (Isnin) jam 1.30 petang bertempat di Padang D, Konpleks Sukan Negeri Sarawak, Petra Jaya, Kuching.
Sumbangan YJFT