KUCHING, 25 MEI 2022 (SNN) : Kerajaan Sarawak mempunyai visi untuk mencapai liputan penuh bekalan elektrik 24 jam di seluruh kawasan negeri Sarawak menjelang tahun 2025.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, setakat suku pertama tahun 2022 sahaja liputan bekalan elektrik di negeri ini telah mencapai 98.6 peratus dengan liputan elektrik di kawasan luar bandar sebanyak 96.5 peratus manakala kawasan bandar sudah mempunyai liputan bekalan elektrik sepenuhnya.
“Sejak tahun 2019 Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sejumlah RM2.37 bilion untuk mempercepatkan program elektrifikasi luar bandar di bawah Projek Rakyat.
“Sehingga kini, sebanyak 657 buah kampung dan rumah panjang bersamaan dengan 14,100 isi rumah (bersamaan dengan 1.4%) yang masih belum mendapat bekalan elektrik di seluruh Sarawak,” katanya ketika membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Datuk Julaihi juga turut memberitahu, terdapat 4 Projek Rakyat Bekalan Elektrik Luar Bandar juga telah dilaksanakan sejak tahun 2019 antaranya pembinaan 12 buah pencawang di mana sembilan buah pencawang telah siap sepenuhnya di Tatau, Kanowit, Nanga Kesit, Sebauh, Sangan, Ngungun, Julau, Pakan dan Dalat, manakala dua buah pencawang di Belaga dan Long Lama sedang dalam pembinaan dan sebuah pencawang di Ba’Kelalan dalam peringkat tender.
“Dua lagi projek ialah pembinaan talian pengagihan (distribution line) utama konduktor berpenebat voltan sederhana (Medium Voltage Covered Conductor-MVCC) sepanjang 500 kilometer yang menghubungkan pencawang-pencawang tersebut” jelasnya.
Sehingga kini, projek ini telah 50 peratus siap dan sejumlah 58 buah projek RES Last Miles sedang dilaksanakan bagi tujuan sambungan terakhir kepada 800 buah kampung dan rumah panjang bersamaan dengan 16,000 isi rumah. Setakat ini, pelaksanaan projek adalah 60 peratus siap.
Bagi kawasan yang terpencil, lima fasa projek SARES juga telah dilaksanakan sejak tahun 2016 yang mana memanfaatkan 408 buah kampung dan rumah panjang bersamaan dengan 12,015 isi rumah. Manakala, SARES fasa keenam kini dalam pelaksanaan yang akan melibatkan 141 buah kampung dan rumah panjang iaitu bersamaan dengan 2,863 isi rumah dan dijangka siap pada suku pertama tahun 2023.
Turut diperjelaskan Bantuan Dana Pemohon Tambahan atau Lewat (Additional and Late Applicant Fund – ALAF) telah diperuntukkan di bawah Projek Rakyat untuk rumah tertinggal atau baharu dibina selepas projek bekalan elektrik luar bandar siap.
“Sejak diperkenalkan pada tahun 2018, ALAF telah memberi manfaat kepada 755 buah kampung dengan 9,090 isi rumah.
“Sehingga kini, terdapat kira-kira 35,000 pemohon di seluruh Sarawak yang memerlukan pemasangan elektrik melalui skim ALAF. Projek ini adalah skim berterusan yang sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan,” tambah beliau lagi.
Selain itu, Kerajaan Sarawak juga menyediakan bantuan kewangan untuk Penyambungan Bekalan Elektrik (Connection Charges Government Financial Assistance – CCGFA) diperkenalkan dalam tahun 2020 bagi isi rumah di bandar yang berpendapatan rendah.
Isi rumah akan mendapat subsidi sepenuhnya untuk kos penyambungan sehingga RM5,000 dan bantuan 70 peratus subsidi untuk penyambungan sehingga RM10,000.
Setakat Mac 2022, seramai 5,106 isi rumah telah mendapat manfaat daripada subsidi CCGFA di mana 4,056 isi rumah telah menikmati subsidi sepenuhnya iaitu percuma, manakala 1,050 isi rumah lagi mendapat manfaat subsidi 70 peratus.
Manakala, diskaun bil elektrik Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) sejak tahun 2020 sehingga April 2022 ialah RM681 juta yang telah memberi manfaat kepada 685,000 pengguna.-UKAS.