KUCHING, 20 MEI 2022 (SNN): Projek Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) di Banting, Lingga bakal memberikan manfaat kepada 268 keluarga dari 11 kampung di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, skop kerja dengan anggaran kos RM10 juta bagi projek itu merangkumi pemulihan empangan dan penapisan sedia ada, pemasangan saluran paip baharu dan pembinaan tangki air.
Tambah beliau lagi, ia merupakan salah satu pendekatan yang diusahakan oleh kerajaan Sarawak bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan luar bandar.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, pada Jumaat.
Sementara itu, Datuk Dr Abdul Rahman turut memaklumkan, projek tersebut kini sedang dalam peringkat penilaian tender dan dijangka dilaksanakan pada penghujung tahun ini.-UKAS.