PUSA, 12 MEI 2022 (SNN) : Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya meluahkan rasa kesal beliau apabila terdapat beberapa projek rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro mengalami kelewatan atau terbengkalai sehingga menyebabkan kemudahan tersebut tidak dapat dimanfaatkan mengikut jadual siap projek.
Menerusi kenyataan beliau di laman rasmi akaun Facebook miliknya menjelaskan antara salah satu projek rakyat yang dilihat mengalami kelewatan adalah Projek LCDA Bina Baru Dewan Kampung Hulu Pusa yang pada asalnya bajet telah diluluskan pada zaman kepimpinan Allahyarham Tok Nan.
“Mengikut papan tanda projek berkenaan ianya dijadualkan siap pada 10 Mac 2022 namun pada pandangan kasar dapat dilihat peratusan projek itu tidak sampai 50 peratus kerja selesai hal ini sangat memberi kesan kepada rakyat yang menunggu-nunggu projek itu untuk kegunaan aktiviti kemasyarakatan.
“Sangat jelas ini menunjukkan contoh culas pihak kontraktor yang dilantik dan mungkin juga akibat semua pihak pelaksana berada jauh di Kuching menambahkan lagi derita kesedihan projek ini yang sudah masuk fasa tenat,” ujar beliau semasa melakukan lawatan kerja dalam Program Jelajah Integriti di kawasan Daerah Pusa baru-baru ini.
Tambahnya lagi, projek RTP Bina Baru Tandas dan Tempat Parkir Food Court Tanjung Pasir Pusa juga dalam perhatian Jabatan Ombudsman kerana acap kali menerima aduan dan keluhan daripada Majlis Daerah Betong dimana projek ini suah lewat dari tarikh siap projek.
“Agensi pelaksana projek ini memaklumkan kepada saya bahawa semuanya sudah siap namun disebabkan sikap agensi tertentu yang kurang memberi kerjasama sejak pandemik Covid-19 dua tahun kebelakangan ini projek terbabit tidak dapat dimanfaatkan oleh rakyat,” tegasnya lagi.
Selain itu, antara projek rakyat yang juga dianggap ‘tenat’ dan menyusahkan rayat adalah Projek RTP Bina Baru Dataran Kejat di Sekolah Kebangsaan Pusa manakala Projek Baik Pulih Ban Kampung Semarang yang pada asalnya di bawah bidang Kerajaan Persekutuan akan diusahakan sendiri kerajaan negeri agar hakisan tanah dapat diminimumkan serta keselamatan rakyat terjamin.
Jelas Juanda yang juga ADUN Jemoreng itu, unit Ombudsman Jabatan Premier Sarawak akan membuat laporan khusus berhubung status projek sakit berkenaan kepada Premier Sarawak dengan harapan ianya dapat menemui jalan penyelesaian supaya rakyat dapat menikmati kemudahan yang baik.