KOTA SAMARAHAN, 10 MEI 2022 (SNN) : Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini disambut dengan penuh kemeriahan bagi rakyat beragama Islam setelah dua tahun berdepan dengan penularan COVID-19.
Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, meskipun pengumuman Hari Raya pada kali ini agak mengejutkan namun ia adalah antara yang paling bermakna selepas berperang dengan COVID-19 sejak tahun 2020 dan meraikan perayaan dalam suasana PKP sebanyak dua kali.
“Ramai yang mengatakan Hari Raya tahun ini sebagai ‘Hari Raya Terkejut’ namun ia antara Hari Raya Aidilfitri yang paling bermakna dan meriah kerana ini merupakan sambutan yang pertama selepas kekalutan susulan pandemik COVID-19.
“Berhubung dengan kejadian malam hari raya, saya menyedari malah saya juga antara yang terjejas dengan masalah gangguan bekalan letrik yang berlaku. Saya telah meminta penjelasan dan tindakan segera daripada pihak SESCO berkenaan gangguan ini kerana sejak 2019 saya telah dimaklumkan usaha mengatasi masalah ini telah direncanakan termasuklah pengoperasian Sub Station baharu berhampiran dengan bangunan baru Balai Bomba Asajaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Kampung Tambirat, Asajaya pada Isnin.
Sementara itu, Datuk Rubiah turut menyatakan hasrat beliau untuk melihat bangunan masjid baharu (Masjid Darul Abrar) agar dapat dibina dalam masa yang terdekat memandangkan masjid ini antara yang beliau berikan perhatian sejak sekian lama dan beberapa isu-isu diselesaikan sebelum kita dapat merealisasikannya bersama.
Turut sama hadir ialah Penghulu Kampung Tambirat; Haji Tamel Mohamed, Naib Ketua Cawangan PBB N15 Asajaya; Aluwi Tamby, Pengerusi Masjid; Mohd Tarmizi Haji Yahya, Ketua-Ketua Kaum Kampung Tambirat dan Pegawai-Pegawai Pengurusan Masjid.