KUCHING, 04 MEI 2022 (SNN) : Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2022 Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang pada Hari Raya kedua disambut meriah dengan kunjungan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan agama.
Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Ragad Kurdi Taib turut mengunjungi Rumah Terbuka Premier Sarawak.
Majlis yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka pagi semalam itu telah berlangsung dengan meriah dengan kehadiran masyarakat berbilang bangsa dan kaum yang terdapat di Sarawak sekaligus sebagai tanda satu permulaan yang baik selepas dua tahun tiada penganjuran rumah terbuka seperti itu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg turut mengambil kesempatan dengan merakamkan penghargaan kepada rakyat Sarawak atas kesudian datang ke majlis berkenaan dan sambutan kali ini menggambarkan permulaan masyarakat kembali ke arah kehidupan normal.
“Namun, walaupun keadaan beransur pulih, saya menyeru agar semua rakyat jaga keselamatan dan kesihatan supaya sentiasa berada dalam keadaan yang baik,” jelasnya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Hotel Pullman di sini pada Selasa.
Sehubungan itu, Premier Sarawak yakin bahawa jalan ke arah kehidupan normal kini berjalan lancar dan terus mengembangkan lagi ekonomi Sarawak.
Timbalan Premier; Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato’ Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Kanan Kerja Raya; Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang); Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP); Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Datuk Julaihi Narawi beserta isteri, Setiausaha Kerajaan Negeri; Datuk Amar Jaul Samion, ahli-ahli Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri Sarawak serta tetamu kenamaan yang lain.