BELADIN, 03 MEI 2022 (SNN) : Keterujaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah dua tahun tidak berpeluang untuk balik ke kampung halaman dapat dilihat di setiap wajah anak perantau sebaik sahaja kerajaan mengumumkan penarikan semula Prosedur Operasi Standard (SOP) bersempena peralihan fasa endemik Covid-19 bermula pada 01 Mei 2022 yang lalu.
Hal ini dapat dilihat semasa tinjauan dilakukan semasa hari pertama sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Beladin, Pusa di perkarangan masjid Al-Amin di mana warga kampung Beladin tidak melepaskan peluang datang beramai-ramai ke masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya Aidilfitri dengan kapasiti penuh buat pertama kalinya dibandingkan dua tahun lalu yang terpaksa beraya dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wabak Covid-19.
Kali terakhir merasakan kemeriahan suasana masjid yang dipenuhi oleh jemaah yang datang menunaikan solat sunat adalah pada tahun 2019 yang lalu dan pada tahun ini suasana berkenaan dapat dirasai kembali dimana seawal jam 7 pagi para jemaah sudah mula memenuhi ruangan masjid untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Salah seorang jemaah ketika ditemui menzahirkan perasaan bersyukur dan menyatakan rindu akan suasana sedemikian kerana sepanjang tempoh PKP dua tahun yang lalu hari raya disambut dengan sederhana dan tidak semeriah seperti kebiasaannya namun pada kali ini ibarat lahir kembali suasana kampung yang meriah dengan kepulangan anak perantau dari luar kota.
Dalam pada itu, beliau turut berharap seiring dengan kemeriahan sambutan hari raya kali ini dapat menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT dan memanjatkan doa kepadaNya agar wabak Covid-19 ini terus berkurangan supaya SOP sedia ada dapat dilonggarkan lebih banyak lagi pada masa akan datang.