BINTULU 30 APRIL 2022 (SNN) : Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB) dan Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Sarawak (PERYATIM) Bintulu telah memberikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada golongan memerlukan dalam satu majlis di Bangunan Martabat Bintulu pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak merangkap Pengerusi LAKIB, Datuk Talib Zulpilip telah menyempurnakan penyerahan sumbangan tersebut kepada seramai 1,730 orang individu.
Para penerima berkenaan adalah terdiri daripada ibu tunggal, balu, Orang Kurang Upaya (OKU), mualaf, golongan memerlukan dan anak yatim daripada penempatan sekitar bandar Bintulu, Kidurong, Kampung Jepak, Labang, Pandan, Sebauh, Tatau, Kuala Tatau dan Nyalau.
Datuk Talib yang juga Penasihat Jepak Jaya juga berkata, sumbangan tersebut memperlihatkan bahawa masih ada masyarakat prihatin serta tidak lupa akan kebajikan golongan yang memerlukan.
“Walaupun tidak banyak tetapi ia membantu dalam meringankan beban dalam menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya semasa berucap dalam majlis tersebut.
Beliau menambah, golongan yang dibantu turut bertambah yang mana ia memberi signifikan masyarakat di negeri ini akan prihatin dan bertanggungjawab.
Turut hadir sama ialah YBgh. Dato Haidar Asghar Khan, Pengerusi Pertubuhan Anak-Anak Yatim Bintulu.-UKAS.