KUALA LUMPUR, 10 MAC 2022 (SNN) : Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Hajah Rubiah Wang menggesa kerajaan pusat untuk meneruskan dua projek menaiktaraf jalan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Kota Samarahan terutama pada waktu puncak.
Datuk Rubiah dalam ucapan perbahasannya meminta kepada pihak Kementerian Kerja Raya untuk memastikan projek berkenaan dapat diteruskan walaupun dengan masalah kenaikan harga barangan pembinaan yang meningkat berkali ganda sejak awal tahun ini.
“Antara projek yang tersebut ialah Projek Menaiktaraf Laluan 8101 Jalan Dato Mohd Musa yang kini dinaiktaraf dari ‘single carriageway’ dua lorong kepada ‘dual carriageway’ empat lorong yang telah bermula sejak 2020 dengan menelan perbelanjaan sebanyak RM229 juta.
“Saya juga ingin tahu perkembangan terkini perjalanan projek menaiktaraf jalan (Laluan 8101 Jalan Dato Mohd Musa) berkenaan dan adakah ianya mampu disiapkan mengikut jadual (kerana) kita takut bahawa projek ini terjejas akibat kenaikan harga barangan pembangunan (pembinaan) baru-baru ini” petikan ucapan perbahasannya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Datuk Hajah Rubiah turut meminta pihak kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan projek pembinaan Jalan Akses Kawasan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang melibatkan pembinaan jalan dari persimpangan Bukit Berangan di Kota Samarahan sehingga ke Persimpangan Stutong di Kuching serta melibatkan pembinaan tiga buah jambatan konkrit dua lorong dua hala merentasi Sungai Kuap, Sungai Stampin dan Sungai Sangkoh.
Beliau turut memaklumkan bahawa pembinaan ‘Flyover’ di bulatan Gyratory 3 (G3) berhampiran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Samarahan merupakan sesuatu yang perlu untuk memecahkan ‘bottleneck’ pengguna jalanraya dari arah Samarahan, Serian dan Jalan Muara Tuang ke bandaraya Kuching.
Jelas beliau, terdapat kira-kira 23 ribu kenderaan menggunakan laluan tersebut setiap hari dan pengguna jalan raya terpaksa bergelut dengan kesesakan lalu lintas seawal jam 5 pagi untuk ke tempat kerja dan pulang dari tempat kerja pada sebelah petangnya pula.