BAU, 04 MAC 2022 (SNN) : Sub stesen tenaga elektrik baharu di Tondong, Bau merupakan stesen pertama yang dilengkapi dengan teknologi ‘Static Synchronous Compensator’ (STATCOM).
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, STATCOM akan membolehkan sub-stesen 275/132KV itu menyediakan sokongan voltan dinamik kepada grid utama, seterusnya meningkatkan lagi kestabilan grid utama, terutamanya Sistem Grid Kuching sekaligus membekalkan elektrik secara konsisten.
Menurut beliau, sub stesen baharu di Tondong di Daerah Bau itu telah beroperasi sepenuhnya pada 18 Februari lepas dan kemudahan di situ dalam perancangan beroperasi bermula Disember depan.
“Melihat kepada pembangunan yang giat berlaku di Kuching, penggunaan STATCOM adalah selari dengan usaha bersepadu kerajaan Sarawak bersama Sarawak Energy Berhad untuk menggunakan teknologi moden bagi menguatkan lagi sistem grid yang sedia ada,” katanya semasa mengadakan lawatan kerja di sub stesen berkenaan pada Khamis.
Datuk Julaihi turut menyatakan bahawa sub stesen Tondong adalah aspek penting dalam pelaksanaan transimisi tulang belakang 500KV di Sarawak yang kini dalam fasa terakhir kerja-kerja penyambungan talian penghantaran elektrik.
“Sub stesen ini mampu memenuhi keperluan bekalan elektrik di Kuching yang semakin meningkat dan juga untuk menampung peningkatan kapasiti pada masa depan,’’ katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa rakyat Sarawak agar bekerjasama untuk menyelesaikan isu-isu bukan teknikal seperti isu ‘wayleave’ yang menjejaskan pelaksanaan projek-projek penaiktarafan.
“Bekalan elektrik merupakan keperluan asas kehidupan. Oleh itu, kerjasama semua pihak adalah penting demi memastikan semua projek ini siap dilaksanakan agar rakyat Sarawak mampu menikmati hasil daripada sistem bekalan elektrik yang moden,’’ ujarnya lagi.
Turut hadir ke lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato Henry Harry Jinep, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad, Datu Sharbini Suhaili.-SUMBER UKAS.