LAWAS, 27 FEBRUARI 2022 (SNN) : Tiga kanak-kanak lelaki yang merupakan adik-beradik masing-masing berusia lapan, tujuh dan empat tahun ditemui rentung selepas rumah kediaman mereka di Kampung Seberang Kedai di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam satu kenyataan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, ketiga-tiga kanak-kanak terbabit didapati rentung manakala enam anggota keluarga lain berjaya menyelamatkan diri.
Katanya lagi, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.02 malam sebelum mengerakkan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas ke lokasi kejadian yang jarak dari lokasi adalah sejauh 17 Kilometer.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati sebuah rumah terbakar dan pihak bomba melakukan operasi pemadaman bagi mengelak kebakaran merebak ke kawasan lain,” kata PGO dalam kenyataan semalam.
Tambah PGO, pihaknya bertindak menggunakan dua aliran hos reel dan satu aliran hos 200 kaki 1 nozel dengan mengambil air terbuka (air sungai) secara ‘relay pumping’ bagi memadam kebakaran yang melibatkan sebuah rumah kediaman jenis struktur separuh kekal dua tingkat bersaiz anggaran 36 x 56 kaki telah musnah sepenuhnya.
“Pemeriksaan selepas api berjaya dipadamkan mendapati tiga kanak-kanak lelaki rentung yang dikenali sebagai Mohd Hesdi Huzaidi Azrie, Mohd Hezmi Huzaili dan Mohd Hezry Huzaimi seterusnya mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, operasi pemadaman turut dibantu oleh 13 anggota pelbagai agensi melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.42 tengah malam.