KUCHING, 06 FEBRUARI 2022 (SNN) : Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan YAB Ketua Menteri Datuk Petinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sedang memperinci bagi mempercepatkan proses penyediaan kemudahan jaringan telekomunikasi dan internet khususnya di kawasan luar bandar seluruh negeri Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, hasrat kerajaan negeri di melalui agensi kerajaan iaitu Sarawak Economic Development Corporate (SEDC) da Sarawak Multimedia Authority (SMA) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan melipatgandakan usaha kearah menyediakan capaian jaringan internet berkelajuan tinggi secepat mungkin.
“Kemajuan yang dikecapi sekarang ini menjadikan kemudahan jaringan internet itu sebagai satu keperluan asas dimana hampir semua orang memerlukan akses jaringan internet yang baik dalam kehidupan seharian mereka.
“Para pengguna ketika ini lebih banyak menggunakan platform digital terutama para peniaga untuk mempromosikan produk jualan mereka disamping perubahan sistem pendidikan kini yang turut memerlukan capaian internet yang baik,” kata beliau semasa berucap dalam Majlis Apresiasi Jasamu Dikenang anjuran Sekolah Kebangsaan Tungkah Melayu di Hotel Dormani, Kuching, semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, turut meluluskan peruntukan geran sebanyak RM10,000 untuk program tahunan Persatuan Ibu-Bapa dan Guru (PIBG) SK Tungkah Melayu.
Untuk rekod, seperti kebiasaannya ADUN Sebuyau pada setiap tahun akan meluluskan peruntukan sebanyak RM10,000 bagi setiap PIBG sekolah rendah yang berada dalam kawasan DUN Sebuyau untuk kegunaan aktiviti tahunan.