BINTULU, 02 FEBRUARI 2022 (SNN) : Tapak Rumah Tumpangan Lama Lembaga Kemajuan Bintulu (B-D-A) di Jalan Sibiew akan dibangunkan sebagai Tempat Transit Gelandangan (T-T-G) Bintulu sebagai usaha mengatasi isu gelandangan di bandar Bintulu yang semakin membimbangkan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KWKPK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Tempat Transit Gelandangan itu akan turut menggunakan konsep di TTG Sibu, yang akan dikendalikan oleh beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang akan disenaraikan.
“Kalau kita lihat kepada bangunan tersebut, cadangan asalnya kita ingin membuat renovasi atau menaiktaraf namun ia akan melibatkan banyak kerja serta kos yang tinggi. Oleh itu, kita mencadangkan untuk membina semula struktur bangunan berkenaan yang mana kosnya hampir sama dengan menaiktaraf bangunan.
“Keperluan untuk mewujudkan TTG ini adalah ekoran Bintulu merupakan bandar yang mencatatkan jumlah gelandangan yang tertinggi di negeri ini,” kata beliau semasa sidang media selepas mendengar taklimat di Lapangan Terbang Bintulu mengenai projek itu bersama Bintulu Development Authority (BDA), pada Ahad.
Tambah beliau lagi, Bintulu juga merupakan sebuah bandar yang sedang pesat membangun dan ia menjadi tumpuan pencari pekerjaan yang sebahagian kecilnya berdepan pelbagai isu yang akhirnya mengakibatkan berlaku isu gelandangan.
Setakat Disember lalu, bandar Bintulu mencatatkan 48 orang gelandangan. Oleh itu, sebagai langkah jangka pendek, pihak mereka melakukan Operasi Bersepadu bersama pelbagai agensi terhadap gelandangan seperti di Bintulu.
Justeru ujar beliau, kewujudan TTG ini yang dijangka siap pada penghujung tahun ini oleh agensi pelaksana iaitu pihak BDA, ia akan mampu mengatasi isu gelandangan dengan adanya tempat transit sebagai pusat pelindungan sementara bagi gelandangan.