SEBUYAU 0 FEBRUARI 2022 (SNN) : Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi memberitahu Pusat Transformasi Luar Bandar, RTC Sampat di Sebuyau, akan dibangunkan semula sebagai Hab Digital Mini selain akan dijadikan sebagai R&R di laluan jalan pesisir Sebangan-Sebuyau.
Bercakap pada sidang media di RTC Sampat pada Ahad, Datuk Julaihi menjelaskan ia merupakan perancangan awal untuk mengaktifkan kegiatan ekonomi di kawasan laluan pesisir berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sebuyau menambah, perancangan ini bersesuaian dengan RTC tersebut yang kini turut menempatkan pusat penjaja, pusat koleksi pertanian dan perikanan selain dijadikan kawasan Rehat dan Rawat jalan pesisir.
Sebagai permulaan, beliau akan mengadakan pertemuan bersama penyedia perkhidmatan pada Februari ini untuk membincangkan keperluan tersebut.
Beliau memberitahu pemberita selepas melawat RTC Sampat di Sebuyau, bersama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).
Sementara itu, pengarah SKMM, Adiman Ajem berkata 11 menara telekomunikasi baharu sedang dibina di Sebuyau sejak minggu lepas, dalam usaha menambah liputan di kawasan pesisir tersebut.
Sembilan daripadanya di bawah SKMM akan dilengkapi perkhidmatan liputan 4G dengan kos lima juta ringgit bagi setiap menara. Manakala tiga lagi menara akan dibina di bawah SMA dengan liputan 3G.
Turut hadir sama En. Douglas ak Narawi dari Kementerian MUT, En Adiman Ajem; Pengarah SKMM, En Haszrizan Hanapi wakil dari SMA, En Hamadlan Hamdan dari SDEC, Wan Zubir Wan Kassim dari kementerian MUT, Ir Hj Tamida dari JBALB dan SAO Ajis Ahmad; Pegawai Tadir Sarawak Pejabat Daerah Sebuyau.