KUCHING, 11 JANUARI 2022 (SNN) : Menteri Utiliti dan Telekomunikasi yang baharu Datuk Julaihi Narawi menyatakan hasratnya untuk meneruskan usaha kementerian demi merealisasikan aspirasi dan agenda pendigitalan di Sarawak.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan tugas rasmi daripada mantan menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom yang kini menjawat sebagai Menteri Permodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah di Bilik Mesyuarat Bakun, The Isthmus di sini pada Jumaat.
Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Menteri Muda Utiliti dan Telekomunikasi I (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang, Menteri Muda Utiliti dan Telekomunikasi II (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Setiausaha Tetap kementerian Dato Alice Jawan dan pegawai serta wakil dari agensi dibawah kementerian.
Dalam ucapan perpisahannya itu, Dr Stephen Rundi mengucapkan tahniah kepada Julaihi atas pelantikan beliau dan berharap kementerian akan terus maju dengan melaksanakan inisiatif pemangkin bagi sektor utiliti bagi memenuhi visi dan misi kementerian, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Kementerian itu kini di bawah Datuk Julaihi yang sebelum ini menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MPID) Sarawak, yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran am bekalan air dan elektrik, serta pengagihan gas.
Fungsi itu diwakilkan kepada lima agensi pelaksana iaitu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar, Lembaga Air Kuching (LAK), Lembaga Air Sibu, LAKU Management Sdn Bhd dan Sarawak Energy Bhd.