KUCHING, 28 NOVEMBER 2021 (SNN) : Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), YBhg Datu Dr. Hj. Sanib bin Hj. Said bersama-sama rombongan daripada rakan strategik AKYBMS iaitu Islamic Tourism Centre (ITC) yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Dr. Mohmed Razip Haji Hasan, Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC) telah mengadakan lawatan ke tapak sejarah di sekitar Santubong, di sini, hari ini.
Menerusi perkongsian di laman rasmi AKYBMS, Lawatan yang telah bermula sejak awal pagi itu telah membawa rombongan bagi melihat sendiri kekayaan tapak sejarah di kawasan Santubong termasuklah di Tanjung Kubor, Sungai Jaong, Bongkisam, Bukit Maras, Bukit Tegok, Batu Buaya dan Kampung Santubong di samping penerangan berkenaan dengan tapak-tapak bersejarah turut disampaikan sendiri oleh Pengurus Besar AKYBMS kepada pihak ITC.
Selain itu, lawatan tersebut juga dibuat bertujan untuk memperkenalkan kepada rakan strategik AKYBMS beberapa usaha dan idea pihak AKYBMS terhadap tapak-tapak sejarah ini selain memperkasa hubungan antara kedua-dua pihak dalam memperkasakan serta meningkatkan kepelbagaian dalam industri pelancongan Islam di Sarawak.
Sebelum memulakan lawatan ke tapak bersejarah, YBhg Datu Pengurus Besar dalam satu majlis ringkas telah menyerahkan Buku Negeri Santubong Sejarah Awal Sarawak, 300ESS-1647ES sebagai tanda kenang-kenangan kepada YBhg. Dato’ Ketua Pengarah ITC. Semoga kerjasama yang baik di antara kedua-dua pihak akan terus berkembang dan mampu memberikan impak yang positif dalam banyak aspek terutama dalam industri pelancongan yang melibatkan tapak bersejarah yang ada di negeri Sarawak.