KABONG, 27 NOVEMBER 2021 SNN(SNN) : Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan peruntukan sebanyak RM7 juta untuk membina Jalan Hubung ke Skim Pembesaran Kampung (SPK) Hulu Kabong, Fasa 1 di sini, semalam.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menyempurnakan majlis pecah tanah projek itu semasa mengadakan lawatan kerja sehari ke daerah tersebut berkata, projek jalan sepanjang 0.81 kilometer (km) itu akan dilaksanakan pada Disember 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2023.
Bagi SPK Hulu Kabong Fasa 1, ia melibatkan kos berjumlah RM30 juta dengan 205 lot termasuk 200 lot kediaman di tapak seluas 61 ekar. Daripada jumlah tersebut, 50 lot kediaman akan dibangunkan oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan di bawah Program Rumah Spektra Permata sebagai Projek Rakyat. Komponen projek termasuk tapak komersial dan industri desa, tadika, surau, ruang terbuka selain tapak Sesco Substation.
Sempena lawatan itu juga, Ketua Menteri turut merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pekan Baru Kabong. Projek tersebut dilaksanakan di bawah Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) di kawasan seluas 10 hektar (26.65 ekar) manakala kerja-kerja awal tanah dan penyediaan tapak dijangka bermula hujung tahun ini.
Antara komponen projek yang dirancang ialah medan selera, pasar tamu, rumah kedai, kedai mini dua tingkat, premis industri kotej, rumah, tadika dan dewan masyarakat. Manakala, pada sebelah petang pula, Ketua Menteri berkesempatan menyempurnakan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pusat Penjaja Kabong.
Turut hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak; Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong; Mohd Chee Kadir dan penyandang kerusi DUN Layar; Dato Gerald Rentap Jabu.